My Add

Wednesday 24 July 2013

Malaysia desak bebaskan tahanan kanak-kanak Palestin

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Malaysia mendesak pembebasan kira-kira 200 kanak-kanak Palestin di pusat tahanan Israel memandangkan penahanan itu boleh mengakibatkan kerosakan psikologi jangka panjang terhadap golongan muda berkenaan.

"Kanak-kanak ini dinafikan permintaan mereka untuk ditemani ibu bapa masing-masing, akses kepada peguam dan ikat jamin dan dalam sesetengah kes malah ditahan berseorangan diri.

"Suasana dan keadaan dahsyat yang perlu dilalui kanak-kanak ini tidak lain daripada mengakibatkan kerosakan psikologi jangka panjang terhadap golongan muda ini. Atas sebab inilah kami mendesak pembebasan semua kanak-kanak Palestin di pusat tahanan Israel," kata Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Perbahasan Terbuka mengenai Situasi di Timur Tengah, termasuk Soal Palestin, di Majlis Keselamatan PBB di New York. Kenyataan itu diperoleh Bernama di sini hari ini.

Sambil menegaskan bahawa penahanan kanak-kanak itu amat mencemaskan, beliau berkata, Malaysia juga bimbang dengan penahanan secara salah lebih 5,000 banduan Palestin.

Hussein berkata, komponen ekonomi dalam sekatan ke atas Gaza termasuk sekatan hampir menyeluruh terhadap eksport menghasilkan keputusan yang menakutkan.

"Delegasi saya mengulangi semula pengutukan kami terhadap sekatan tidak sah ini yang kini memasuki tahun ketujuh dan menggesa supaya ditamatkan dasar hukuman kolektif yang sinis dan disengajakan oleh Israel ke atas penduduk Palestin," katanya.

Beliau berkata tidak memeranjatkan apabila Israel terus sewenang-wenangnya melanggari undang-undang antarabangsa di Timur Tengah apabila Israel memberi hak eksklusif kepada syarikat Amerika-Israel untuk mencari gali minyak di separuh daripada kawasan Bukit Golan Syria yang diduduki, awal tahun ini.

"Ini terang-terangan mencabuli Konvensyen Geneva Keempat. Menjarah dan mengaut keuntungan daripada eksploitasi secara haram di wilayah yang diduduki tidak boleh diterima.

"Israel mesti berundur sepenuhnya dari Bukit Golan Syria yang diduduki sejajar dengan resolusi 242 (1967), 338 (1973) dan 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB. Dalam hubungan ini, delegasi saya turut mengutuk pencerobohan berulang kali oleh tentera udara Israel ke ruang udara Lubnan, yang mencabuli resolusi 1701 (2011) Majlis Keselamatan," katanya.

Mengenai proses perdamaian di Timur Tengah, Hussein berkata Malaysia memerhati dengan penuh minat perkembangan yang membawa kepada kemungkinan bermula semula rundingan langsung.

"Kami mengambil maklum kemajuan yang dicapai dalam diplomasi ulang-alik oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, dan kami mendoakan kejayaannya serta menawarkan sokongan kami kepada usaha tanpa jemu beliau dalam menemukan kedua-dua pihak itu," katanya.

Beliau berkata, delegasinya turut memuji Kesatuan Eropah berikutan pengumuman mengenai ’Commission Guidelines’ baru-baru ini, yang menyokong kedudukan dan komitmen politik dengan mengenakan sekatan yang berkesan terhadap amalan penempatan Israel.

Berhubung situasi di Syria, beliau berkata, Malaysia menyambut baik inisiatif Amerika-Rusia menganjurkan persidangan antarabangsa namun menegaskan kepentingan bagi menamatkan segera keganasan selain kepentingan mengadakan dialog untuk mencapai penyelesaian politik.

Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi sokongannya kepada Lubnan dalam usaha membebaskan sepenuhnya semua wilayahnya.

"Atas sebab itu, kami menggesa Israel supaya melaksanakan sepenuhnya Resolusi 1701 (2006) Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata berkekalan dan supaya mengundurkan sepenuhnya tentera Israel dari Lubnan, dengan turut menghormati Blue Line (garisan pengunduran yang dikenal pasti PBB)," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment