My Add

Friday 12 July 2013

Malaysia, Rusia tanda tangan perjanjian hapus separa visa
PUTRAJAYA, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Malaysia dan Rusia sedia menandatangani Perjanjian Penghapusan Separa Visa yang memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang melakukan lawatan rasmi ke Rusia dari 9 hingga 11 Julai lepas telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya Sergei Lavrov dan mereka berpuas hati dengan hubungan baik Malaysia dan Rusia.

"Kedua-dua menteri mahu hubungan baik Malaysia-Rusia dipertingkatkan melalui pertukaran lawatan, termasuk lawatan rakyat kedua-dua negara itu. Dalam hal ini, kedua-dua menteri telah mengalu-alukan kesediaan menandatangani Perjanjian Penghapusan Separa Visa," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri turut berpuas hati dengan status rundingan perjanjian bagi 'Establishment of a Joint Malaysia-Russia Commission for Economic, Scientific, Technical and Cultural Cooperation (ESTC)'.

(Pembentukan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia untuk Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan)

"Perjanjian yang menyediakan mekanisme dua hala itu akan meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Rusia, dan dijangka dapat ditandatangani dalam masa terdekat," kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua menteri terbabit turut memberikan komitmen tinggi untuk meningkatkan hubungan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

"Malaysia dan Rusia akan meneruskan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, pertahanan, sains dan teknologi," kata kenyataan itu.

Dalam lawatan rasmi itu, Anifah turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen Rusia, Alexey Pushkov.

Selain ditemu ramah oleh stesen televisyen Rusia Today, Anifah juga mengadakan majlis berbuka puasa bersama komuniti Malaysia di negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment