My Add

Tuesday 9 July 2013

Masyarakat perlu jelas undang-undang Islam: Bekas hakim

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Penggubalan sesebuah undang-undang yang melibatkan masyaraka berbilang agama dan kaum di negara ini perlu diterangkan sejelas-jelasnya kepada masyarakat supaya tidak timbul pergeseran di antara mereka akibat kekeliruan itu.

Menyambut baik penarikan balik pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, penjelasan itu mesti dilakukan pakar undang-undang.

"Yang menerangkan itu eloklah orang yang pakar undang-undang atau menteri yang telah diterangkan (mengenai rang undang-undang) oleh pegawai-pegawai daripada (Jabatan) Peguam Negara," katanya kepada Bernama.

Kerajaan pada Jumaat menarik balik pembentangan rang undang-undang yang antara lain membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak adalah Islam. Ia dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat, 26 Jun lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, Kabinet telah membincangkan isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam dengan mengambil kira pandangan dan kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut Muhyiddin, keputusan menarik balik rang undang-undang itu juga dibuat bagi memberi masa kepada kerajaan dan semua pihak untuk meneliti semula undang-undang berkenaan secara holistik dan hanya akan dibentangkan semula setelah mendapat persetujuan semua pihak.

Mohd. Noor menarik perhatian Seksyen 107(b) rang undang-undang itu adalah selari dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang berusia di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh 'his parent or guardian', yang membawa maksud ibu atau bapa atau penjaga.

Beliau menjelaskan bahawa perkataan 'parent' (singular) itu tidak ditafsirkan sebagai ibu dan bapa kerana dengan jelas tidak ditulis sebagai 'parents' (plural).

"Sebab itu Perlembagaan (Persekutuan) dengan sengaja, bukan lalai dan bukan silap, menggunakan (singular) parent, maka terpulang kepada bapa atau ibu untuk membuat keputusan," katanya.

Tambahnya, adalah tidak logik jika ada pihak yang mahu kedua-dua ibu bapa diberi hak untuk menentukan agama anak mereka kerana ia akan menimbulkan masalah yang tiada penyelesaiannya.

"Penggubal undang-undang juga tidak boleh menyatakan parents, melainkan kalau kedua-duanya (ibu bapa) memeluk agama Islam (maka) tidak ada masalah.

Kalau seorang 'parent' memeluk agama Islam dan nak bawa anak dia masuk Islam, tentulah yang seorang lagi tidak setuju.

"Kita tengok 'guardian' yang menjaga anak pula. Anak itu bukan 'maternal blood' (darah daging) dan dia (guardian) boleh menentukan agama. Maka tidak wajar sekiranya kedua-dua (ibu bapa) nak putuskan agama anak mereka," jelas Mohd Noor.

Beliau berkata, isu diskriminasi agama tidak timbul apabila ada yang melihat peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sebagai hanya menyebelahi agama Islam.

"Pada pandangan saya, tidak ada diskriminasi agama di sini oleh kerana jalan yang terbaik adalah salah seorang daripada ibu bapa menentukan agama anak," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata dalam konteks itu, terdapat diskriminasi yang dipanggil 'positive discrimination' yang bermaksud diskriminasi yang dibenarkan undang-undang seperti perlindungan hak Orang Asli dan keistimewaan orang Melayu.

"Dalam hal ini, agama (rasmi) kita adalah Islam. Agama (di negara ini) bukan semua setaraf. Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain perlu diamalkan secara aman dan harmoni.

"Jadi, kalau Perlembagaan Persekutuan menyebelahi atau pilih kasih kepada Islam, maka itu adalah sewajarnya kerana Islam itu adalah agama setiap negeri di Malaysia," katanya.

Mohd. Noor turut meminta supaya isu itu tidak diungkit sehingga menjurus kepada mana-mana desakan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda, dan seterusnya menyebabkan masyarakat tidak lagi sehaluan.

Dalam pada itu, selain berharap rang undang-undang itu yang menyebut ’his parent or guardian’ menentukan agama anak dikekalkan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, beliau mencadangkan satu peruntukan khas diwujudkan.

"Peruntukan khas ini bagi membolehkan suami atau isteri, dan anak yang masih dalam agama asal membuat tuntutan hak mereka ketika mereka masih menjadi sebuah keluarga, di mahkamah sivil berikutan (status) tidak lagi diiktiraf mahkamah syariah (selepas perceraian)," katanya.

Mengulas perkara itu, Mohd. Noor berkata, langkah itu akan memastikan tiada percanggahan tuntutan semua pihak (suami, isteri dan anak), terutama dalam soal hak yang sepatutnya menjadi milik anak apabila berlaku perceraian.

"Seeloknya (kita) berpegang kepada apa yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui semua pihak sejak 55 tahun dulu untuk menjamin masa depan bangsa Malaysia.

"Kalau hendak diubah landskapnya, maka akan berubah banyak perkara yang lain. Malang sungguh kalau rakyat kita nak rombak semula apa yang kita sudah persetujui 55 tahun dulu. Jika tetap dipinda, ke mana haluan negara bangsa kita?" tambahnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment