My Add

Wednesday 24 July 2013

MBAS kompaun peniaga jual makanan awal sempena Ramadan

ALOR SETAR, SELASA, 23 Julai, 2013: Walaupun pernah dikompaun sebanyak empat kali, seorang peniaga kedai makan di Simpang Empat dekat sini tetap berdegil menjual makanan sebelum pukul tiga petang pada bulan puasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Saifullizam Othman berkata peniaga yang menjual nasi berlauk itu telah dikompaun empat kali tahun lalu dan satu lagi dikeluarkan hari ini.

"Kesemua makanan dan peralatan memasak seperti tong gas yang ada di kedai berkenaan telah disita oleh pihak MBAS," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, operasi membanteras penjualan makanan sebelum pukul tiga petang itu bermula semalam melibatkan dua operasi di enam lokasi di sekitar Simpang Kuala, Alor Mengkudu, Kuala Kedah dan Simpang Empat.

"Sehingga hari ini, kita mengeluarkan kompaun kepada enam peniaga dan berjaya merampas lebih 60 jenis juadah makanan di enam lokasi yang menjual makanan sebelum jam tiga petang.

"Makanan dan barang-barang yang dirampas akan disimpan di MBAS dan sekiranya peniaga ingin mengambil semula, mereka perlu membayar kompaun mengikut kos rampasan yang telah ditetapkan oleh pihak MBAS," kata Shaifullizam.

Shaifullizam berkata, larangan penjualan makanan awal adalah arahan kerajaan negeri dan termaktub dalam syarat Undang-undang Kecil Penjaja 2010 MBAS. 

"Sekiranya larangan ini tidak diendahkan oleh peniaga, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan yang melibatkan pembeli tetapi pihak MBAS akan bekerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam Kedah (Maik) untuk membuat tangkapan.

"Saya ingin mengingatkan semua peniaga dan penjaja di daerah Alor Setar dan seluruh Kedah supaya tidak menjalankan perniagaan sebelum pukul tiga petang bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak penguat kuasa," katanya.

Sementara itu, Saifullizam berkata, dalam operasi berlainan melibatkan bazar Ramadan dan penjualan pakaian, sebanyak 231 kompaun telah dikeluarkan kepada 231 premis peniaga sepanjang Ramadan ini.

"Kompaun yang kita keluarkan ini membabitkan pelbagai jenis kesalahan termasuk menjalankan aktiviti perniagaan di luar kawasan premis perniagaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment