My Add

Monday 22 July 2013

Memorandum ganti EO diserah

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Satu memorandum telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi mendesak undang-undang khas pencegahan jenayah diwujudkan dengan segera untuk menggantikan Ordinan Darurat (EO) serta beberapa akta lain yang telah dimansuhkan.

Memorandum yang turut disertakan 10,000 tanda tangan penduduk di Lembah Kelang itu adalah sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap pembentukan undang-undang baharu berkenaan.

Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, memorandum serta tanda tangan itu kemudian diserahkan kepada Khalid yang diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

"Kami mahu undang-undang pencegahan jenayah itu digubal segera, setelah EO dan beberapa akta lain dimansuhkan kerana polis sukar ambil tindakan pencegahan jenayah.

"Ini kerana akta yang ada ketika ini hanya memperuntukkan undang-undang dan hukuman terhadap pesalah jika kejadian jenayah sudah pun berlaku," katanya kepada pemberita semasa majlis menandatangani memorandum sokongan undang-undang pencegahan jenayah dan penggunaan E-plat kenderaan di Taman Puchong Utama dekat sini hari ini.

Beliau turut menggesa agar badan kehakiman tidak terlalu mudah memberi jaminan dan melepaskan tahanan atau orang kena tuduh (OKT) walaupun bukti langsung masih belum diperolehi.

"Kami mahu pelaku jenayah ditangkap dan ditahan serta tidak dilepaskan sewenang-wenangnya walaupun bukti langsung belum diperolehi dan hanya bergantung kepada maklumat dan mengenal pasti suspek.

"Ini kerana, mereka yang dilepaskan dengan jaminan dikesan sering kembali melakukan kegiatan jenayah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Chee Heng berkata, pihaknya turut menyokong penggunaan E-plat kenderaan dalam mengurangkan kadar jenayah yang kebanyakannya bermula dengan penggunaan nombor pendaftaran palsu.

"Modus operandi penggunaan plat kenderaan palsu dalam kegiatan jenayah dapat dibendung jika E-plat kenderaan dikuatkuasakan secepat yang mungkin," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment