My Add

Monday 22 July 2013

Model baharu JKKK diperkenal

Oleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI
 
 * NAJIB Tun Razak memberi sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diiringi Mukhriz Tun Dr. Mahathir sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedah di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUBANG PASU, AHAD, 21 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melaksanakan model baharu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memperkasakan kepimpinan akar umbi itu di seluruh negara mulai tahun depan.

Perdana Menteri berkata, model baharu itu antara lain menetapkan syarat had umur maksimum yang munasabah bagi individu berkhidmat iaitu tidak lebih daripada 65 tahun.

"Had umur yang ditetapkan adalah munasabah, lebih tinggi daripada had umur pesara awam.

"Kalau dah sampai 70 tahun dan tinggal dua batang gigi sukar pula nak buat kerja, umur 60 tahun pula masih bertenaga jadi umur 65 tahun ini sesuai," katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa Perdana Menteri Bersama JKKK Kedah di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum serta kenamaan lain.

Menurut Najib, antara ciri-ciri lain yang terkandung dalam model baharu tersebut adalah sesi latihan bagi menambah ilmu serta keberkesanan kepimpinan peringkat JKKK.

"Elaun mesyuarat untuk JKKK juga akan kita kaji semula dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, tempoh jangka hayat perkhidmatan JKKK yang sepatutnya tamat pada Jun lalu akan dipanjangkan sehingga akhir tahun.

Dalam pada itu, katanya, semua JKKK di Kedah perlu membantu kepimpinan Mukhriz agar segala perancangan pembangunan untuk negeri ini berada di landasan yang betul.

"Saya berharap setiap JKKK yang dilantik akan memainkan peranan sepertimana yang digariskan. Fungsi JKKK ialah untuk menjadi tiang utama yang dapat tegakkan kerajaan negeri untuk membela rakyat," katanya.

Sementara itu, kata Najib, kerajaan Pusat akan memberi komitmen sebanyak 110 peratus kepada kerajaan negeri Kedah dalam usaha memajukan negeri itu setanding negeri-negeri jiran yang lain.

"Saya umumkan sebagai Perdana Menteri adalah menjadi tanggungjawab saya kalau rakyat dah bagi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), saya akan bagi 110 peratus komitmen.

"Kalau tidak mampu saya gagahi diri juga supaya rakyat Kedah dapat melihat bahawa sokongan mereka terhadap BN adalah tepat," jelasnya.

Sementara itu, Najib kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Al-Muttaqin di Bandar Darulaman, Jitra dekat sini.

Najib seterusnya menikmati moreh serta bersalaman dengan para jemaah sebelum meninggalkan masjid itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment