My Add

Tuesday 23 July 2013

MIDA tarik pelaburan tinggi

 Noharuddin Nordin
KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Usaha Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menarik pelaburan bernilai tinggi ke dalam negara bertujuan mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih menarik, yang dapat menggalakkan bakat tempatan kembali ke Malaysia.

Selain bergaji tinggi, bakat muda juga tertarik terhadap persekitaran pekerjaan yang lebih mencabar, kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Noharuddin Nordin.

Bercakap kepada Bernama di Bangkok baru-baru ini, beliau berkata, walaupun wang merupakan faktor ramai bakat tempatan bekerja di luar negara, Generasi Y ini juga mahukan 'keseronokan.'

"Mereka mahu berada dalam persekitaran di mana terdapat banyak inovasi, kreativiti dan teknologi canggih dibangunkan. Inilah persekitaran yang mereka mahu berada," katanya.

Noharuddin yang ditemui sempena Inisiatif Pemimpin Muda Hitachi (HYLI) ke-12 di Bangkok, bercakap mengenai isu 'kehilangan bakat' di Malaysia dan kaedah promosi yang dilakukan oleh MIDA dalam usaha menangani kebimbangan itu.

"Inilah yang kami lakukan. Kami kini melakukan promosi pelaburan menggunakan pendekatan ekosistem ini dan menjadi lebih memilih supaya kami menambah nilai tinggi, aktiviti kandungan pengetahuan tinggi ke dalam negara.

"Menerusi usaha ini, kami mengharapkan ia dapat mewujudkan ekosistem, persekitaran yang lebih menarik di Malaysia yang menggalakkan golongan muda kembali," katanya.

Mengenai gaji yang lebih tinggi, beliau berkata, pengenalan gaji minimum merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan skala gaji.

Walaupun syarikat perlu membayar upah yang lebih tinggi kepada pekerja, mereka boleh mengimbanginya dengan meningkatkan produktiviti dan akhirnya ia akan memanfaatkan Malaysia ke arah merealisasikan negara berpendapatan tinggi pada 2020.

"Anda tahu bahawa konsep 'Balik Kampung' merupakan sebahagian daripada budaya, dan kebanyakan kita mahu berada dekat ibu bapa dan keluarga. Walaupun ada tarikan untuk memperoleh gaji yang lebih tinggi, namun jika kita boleh dapat gaji yang memuaskan di sini, mungkin mereka memilih untuk berada dalam negara," katanya.

Noharuddin berkata memandangkan negara semakin menghampiri tarikh pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), situasi ini perlu ditangani memandangkan pergerakan manusia dan bakat akan lebih bebas selepas terbentuknya AEC.

Menurut Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia Bank Dunia bagi April 2011, dianggarkan sejuta rakyat Malaysia kini berada di luar negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment