My Add

Sunday 28 July 2013

MITI komited majukan Kedah - Mustapa


* MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) bersalaman dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR. AHAD, 28 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mempunyai komitmen tinggi untuk membantu memajukan sektor perindustrian di Kedah sekali gus menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, justeru pihaknya memandang serius isu yang dibangkitkan seperti masalah bekalan air di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang dianggap perlu diatasi segera bagi memastikan ia menepati piawaian.

"Bila ada syarikat-syarikat melabur di KHTP, tapi masalah bekalan air tak selesai, tak boleh la nak panggil taman berteknologi tinggi. Kerajaan pusat akan melihat bagaimana dapat membantu keperluan kerajaan negeri iaitu sebanyak RM50 juta (untuk menambah baik bekalan air).

"Perkara ini akan dikaji dengan serius kerana ia merupakan keperluan yang mendesak dan saya memang menyokong penuh permohonan itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI), di sini hari ini.

Katanya, dengan perkembangan semasa KHTP yang kini di peringkat penyediaan infrastruktur untuk fasa keempat, masalah berkaitan bekalan air perlu diselesaikan segera.

"Keperluan air di KHTP adalah amat besar dan kita cukup faham sebab saya sendiri pernah dikunjungi syarikat-syarikat yang beroperasi di KHTP di mana dua tahun lepas ada gangguan bekalan air dan mereka mengalami kerugian besar dan perkara ini amat serius.

"KeTTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan EPU (Unit Perancang Ekonomi) dah beri jaminan akan kaji (masalah air) secara serius dan apabila selesai kerajaan negeri akan dimaklumkan (mengenai tindakan seterusnya)," kata Mustapa.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, peruntukan yang diperlukan untuk menambah baik kualiti bekalan air di KHTP iaitu RM50 juta masih terkawal, namun ia masih dalam peringkat perbincangan dengan KeTTHA.

"Jika diluluskan dalam masa terdekat, dapat tambah baik atau tambah kapasiti pengeluaran atau rawatan air daripada 170 juta liter sehari kepada 200 juta liter sehari.

"Mengenai fasa keempat KHTP, kita rasa boleh dapat jenis industri yang kita sasarkan dan buat masa ini dari segi infrastruktur ia sedang dilaksanakan melibatkan kawasan berkeluasan 406 ekar (162 hektar)," katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga optimis dapat menarik lebih banyak pelabur kerana KHTP mempunyai reputasi tersendiri selain terkenal dan telah berjaya menarik industri tersohor seperti Infineon Technologies dan Silterra.

"Itu saja sudah menimbulkan rasa yakin di kalangan pelabur bahawa KHTP antara taman teknologi tinggi terbaik di negara ini dan saya tak rasa bimbang yang kita akan dapat tarik pelaburan yang diharapkan," katanya.

Beliau berkata, fasa keempat KHTP sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Julai 2014.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negeri untuk mempromosi Bandar Getah atau Rubber City di Padang Terap kepada pelabur asing dan tempatan.

"Rubber City ini adalah agenda penting Menteri Besar. Antara cadangan kami adalah untuk mengadakan seminar. Mida akan kenal pasti pelabur bertujuan untuk menceritakan visi dan perancangan untuk bangunkan Rubber City," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment