My Add

Sunday 7 July 2013

MOSTI laksana 63 program STI

RANAU, SABTU, 06 Julai, 2013: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melaksana 63 program kesedaran sains, teknologi dan inovasi (STI) di seluruh negara setakat 30 Jun lepas.

Menterinya, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, sepanjang tahun ini, kementerian itu mengenal pasti 103 program yang dijalankan pelbagai pihak, termasuk swasta.

"Program ini mendapat sambutan yang amat baik daripada semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar sekolah yang merupakan generasi 'Y' negara dan bakal pemimpin masa depan," katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Kreativiti dan Science 4U di Dewan Masyarakat Ranau hari ini.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu tepat pada masanya kerana merupakan satu platform yang kaya dengan penyaluran serta perkongsian ilmu sains, teknologi dan inovasi untuk semua lapisan masyarakat.

Katanya, sebanyak 12 agensi dan bahagian di bawah kementerian itu mengambil bahagian untuk berfungsi serta menyalurkan informasi dan teknologi masing-masing kepada pengunjung.

Ewon berkata, pembangunan masyarakat sains, teknologi dan inovasi adalah strategi penting dalam memacu transformasi ekonomi negara untuk menjadi sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi.

"Kita berharap melalui pendekatan sains, teknologi dan inovasi ia akan dapat melonjakkan perkembangan pesat sektor baharu dalam ekonomi negara yang dikenal pasti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), khususnya sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin masyarakat dan penduduk di Ranau agar dapat memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi untuk menambah nilai serta mempertingkat produktiviti dan pendapatan.

Ewon berkata laporan World Competitiveness Yearbook 2013 yang dikeluarkan Institute of Management Development yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland menyatakan Malaysia antara 15 negara dalam ranking tertinggi paling berdaya saing di dunia.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia meningkat daripada tangga ke-16 kepada 13 terbaik dunia apabila dinilai dari segi empat faktor kompetitif, khususnya kedudukan infrastruktur teknologi. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment