My Add

Monday 29 July 2013

Mydin bantu anak-anak yatim Rohingya

 *REZA Murad Ali (hadapan) bersama anak-anak yatim Rohingya mengecat rumah dalam program amal bersama Anak-anak Yatim Rohingya Darul Aitam di Selayang, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Seramai 54 anak pelarian Rohingya di Ma'ahad Tahfiz Al-Quran dan Rumah Anak Yatim Al-Sagaff mampu tersenyum gembira melihat wajah baru kediaman mereka yang telah dibaik pulih hasil bantuan Kelab Rekreasi dan Sukan Mydin Holdings.

Kesempatan melakukan amal kebajikan di bulan Ramadan digunakan sebaik mungkin oleh ahli kelab tersebut yang terdiri daripada 40 warga kerja Mydin dari pelbagai jabatan untuk turun padang menceriakan kawasan rumah di samping memberi sumbangan barang kelengkapan kepada anak-anak malang tersebut.

Presiden Kelab yang juga Pengurus Perolehan Produk Mydin Holdings, Mirza Murad Ali berkata, usaha murni tersebut dilakukan secara sukarela oleh ahli kelab tersebut.

"Kami merasa terpanggil untuk membantu atas nama kemanusiaan dan ingin berkongsi rasa tanggungjawab dan kasih sayang bersama anak-anak ini seperti yang dirasakan oleh warga negara ini.

"Pada hari ini juga kami bekerjasama tanpa mengira pangkat masing-masing untuk mengecat dan membersihkan rumah serta memberi sumbangan tilam, selimut dan bantal memandangkan keadaan di sini agak daif hingga ada di antara mereka yang terpaksa tidur di atas lantai," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, dana untuk memperbaiki kediaman dan menyediakan kelengkapan kepada rumah tersebut diperoleh hasil kutipan daripada ahli kelab tersebut tanpa sebarang tajaan mana-mana pihak.

Selain membantu membaik pulih rumah dan memberi sumbangan barangan kelengkapan, warga Mydin turut menganjurkan program memasak bubur lambuk dan majlis berbuka puasa bersama anak-anak rumah tersebut.

Pengasas rumah tersebut, pasangan suami isteri Arif Hakim Azim dan Zalina Zahari berkata, pihaknya amat gembira dan bersyukur dengan ihsan yang disalurkan oleh kakitangan Mydin itu.

"Kami berdua juga merupakan anak yatim dan sebelum ini, kami terpaksa menjual perniagaan kami untuk membuka rumah bagi memberi perlindungan dan pendidikan kepada anak-anak yang senasib dengan kami ini kerana mereka tidak boleh bersekolah seperti kanak-kanak lain.

"Kami merasa amat terharu kerana masih ada yang mengambil berat terhadap kebajikan anak-anak ini dan merasa sangat bersyukur menerima bantuan yang amat kami perlukan di saat Aidilfitri yang semakin dekat," katanya - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment