My Add

Monday 29 July 2013

Angkasa sasar 1,000 koperasi masjid

Oleh ZAMZURINA AHMAD

 * ABDUL Fattah Abdullah (kanan) melayan anak-anak yatim dalam majlis berbuka puasa Angkasa Pahang zon 1 di Masjid al-Khairiah Batu 7, Jalan Gambang, Kuantan semalam.
KUANTAN, AHAD, 28 Julai, 2013: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sebanyak 1,000 buah koperasi kariah masjid ditubuhkan menjelang penghujung tahun ini dalam usaha menggembleng kekuatan ekonomi umat Islam.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sejak tahun lalu pihaknya mengenal pasti sebanyak 10,000 buah masjid dan surau di seluruh negara layak diwujudkan koperasi.

Katanya, dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebanyak 500 buah masjid telah mendaftar dan menubuhkan koperasi masing-masing.

"Selain memfokuskan pada bidang perniagaan, koperasi masjid turut dalam aktiviti sosial seperti penganjuran program berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan untuk 40 anak yatim dan majlis berbuka puasa anjuran Koperasi Masjid Kariah al-Khairiah Batu 7 di sini semalam.

Menurut Abdul Fattah, bidang perniagaan yang diceburi koperasi kariah masjid meliputi peruncitan, pelancongan, katering dan pendidikan seperti menganjurkan kelas-kelas tambahan.

Sementara itu, katanya, Angkasa memperuntukkan sebanyak RM80,000 setiap tahun bagi 16 kawasan di seluruh negara untuk menjayakan Program Ihya Ramadan.

"Pengisian program tertakluk pada pendekatan kawasan masing-masing demi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Sesetengah kawasan akan menganjurkan majlis berbuka puasa dan menjemput masyarakat setempat serta anak-anak yatim untuk diraikan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment