My Add

Thursday 18 July 2013

NGO desak segera dakwa pasangan cetus kontroversi

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, didakwa segera di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti agama.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pelaksanaan akta itu penting dalam memastikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa dijunjung.

Menurut beliau, tindakan pihak berkuasa yang berdiam diri terhadap kebiadapan pasangan itu boleh memberi kesan negatif kepada kesucian agama Islam di negara ini.

"Oleh itu, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersalah sebagai peringatan kepada masyarakat supaya lebih berwaspada menggunakan media sosial," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam mengenai pasangan kontroversi tersebut yang boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menyentuh sensitiviti umat Islam menerusi laman Facebook mereka.

Malah, Abdul Gani menegaskan, pasangan itu boleh disiasat serta didakwa menerusi peruntukan atau undang-undang lain termasuk peruntukan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Alvin dan Vivian sebelum ini menimbulkan kemarahan umat Islam selepas mempersenda kedatangan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan yang tertera perkataan: Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan.

Lebih biadab, pasangan itu turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pasangan itu bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa depan, seterusnya memastikan keharmonian negara terus kekal.

Tambahnya, tindakan tegas itu juga wajar kerana pasangan tersebut jelas tidak prihatin dengan budaya dan adab yang sepatutnya diamalkan di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Kami juga tidak mahu usaha pelbagai NGO membuat aduan polis membantah tindakan biadab mereka menjadi sia-sia jika tiada tindakan undang-undang diambil," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Khairul Nizam Mohd. Sopery menyifatkan perbuatan tidak bermoral pasangan berkenaan boleh menimbulkan perpecahan dan ketegangan agama dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, tindakan itu turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelajar yang memiliki latar belakang berbeza dari aspek kaum dan agama.

"GPMS bimbang perkara ini jika tidak dibendung segera boleh menjadi barah dan bertambah rumit sehingga sukar diselesaikan," katanya - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment