My Add

Thursday 18 July 2013

Kenakan hukuman penjara, denda tidak memadai

IPOH, RABU, 17 Julai, 2013: Pasangan Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, perlu didakwa dan dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran kerana mempersendakan bulan Ramadan dan umat Islam di laman Facebook mereka.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Prihatin Kebajikan Perak, S. Kumaravel berkata, mahkamah tidak boleh hanya mendenda pasangan tersebut kerana mereka sudah pasti mampu membayarnya, apatah lagi dengan sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang anti-Islam dan orang Melayu.

"Tindakan mereka telah menghina Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama negara.

"Saya mahu kerajaan bertindak tegas. Tidak payah siasat lagi tetapi terus dakwa dan jatuhkan hukuman penjara di mahkamah kerana sudah ada bukti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Alvin dan Vivian mencetuskan kemarahan umat Islam apabila mereka mengajak berbuka puasa dengan memakan bak kut teh (sup tulang babi).

Kedua-dua mereka memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian sosial.

Kumaravel turut menyifatkan pasangan tersebut yang pernah mencetuskan kontroversi aksi lucah sebagai tidak bertamadun dan tidak bermoral kerana tidak tahu menghormati penganut agama lain.

Sementara itu, di Labis, Johor, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong menasihatkan orang ramai jangan mengambil kesempatan daripada isu pasangan Alvin dan Vivian untuk mencetuskan suasana tegang dan menggugat keharmonian kaum.

Menurutnya, perbuatan pasangan tersebut biadab dan melampau, namun berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan.

"Mereka seharusnya sedar perbuatan itu bukan sahaja telah menggores hati penganut agama Islam di negara ini malah boleh menggugat keharmonian kaum serta dijadikan 'modal' oleh pihak tertentu untuk mencetuskan keadaan huru-hara," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid dalam kawasan Parlimen Labis sempena Ramadan di sini semalam.

Menurut Tee Yong, semua pihak harus memainkan peranan dalam memelihara keharmonian serta persefahaman antara kaum yang telah diamalkan sejak sekian lama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment