My Add

Thursday 4 July 2013

Operasi ketenteraan di ESSZONE diteruskan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Operasi keselamatan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak akan dihentikan walaupun Operasi Daulat ditamatkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pemindahan aset ketenteraan ke kawasan yang diletak di bawah pengawasan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu akan diteruskan, termasuk semua operasi membabitkan anggota tentera.

"Apabila Operasi Daulat diserah kepada Esscom dan ditukar nama kepada Operasi Sanggah, itu tidak bermakna tanggungjawab ATM akan dihentikan.

"Walaupun operasi itu kini dikawal selia oleh Esscom, ATM akan terus terbabit dalam operasi di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan seperti Operasi Pasir dan kerja-kerja risikan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fake (BN-Sabak Bernama) pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohd Fasiah ingin tahu perancangan ATM di kawasan itu selepas Operasi Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu untuk memerangi kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu ditamatkan Sabtu lalu.

Hishammuddin berkata, beberapa peralatan ketenteraan yang baharu bersesuaian dengan operasi di persisiran pantai timur Sabah juga akan dibeli untuk memperkukuh struktur organisasi supaya lebih anjal kepada situasi ancaman.

Selain itu, anggota ATM juga terlibat dalam penambahan lima batalion pasukan keselamatan yang diumum kerajaan, yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, katanya.
"Dengan apa yang telah dilakukan dan dirancang, rakyat tidak perlu bimbang tentang tahap keselamatan, terutama keselamatan perairan negara," katanya.

Hishammuddin berkata, Operasi Daulat membabitkan 5,610 anggota ATM serta atur gerak aset-aset ATM membabitkan kos sebanyak RM84.9 juta daripada peruntukan Kementerian Pertahanan.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf penceroboh berkenaan sebagai tentera kesultanan Sulu dan menegaskan penggunaan istilah itu adalah tidak wajar kerana mereka bersifat penceroboh.

Beliau berkata, insiden itu mencemar kedaulatan dan memberi kesan kepada keselamatan negara, yang menyebabkan dua anggota tentera dan lapan anggota polis terkorban. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment