My Add

Sunday 7 July 2013

Ops Harga 2013 di seluruh negara

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan SAFINA RAMLI
 
 * HASAN Malek melihat harga ayam ketika melawat gerai peniaga selepas pelancaran Ops Harga 2013 di Pasar Besar Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - MINGGUAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN, SABTU, 06 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan pertemuan dengan pihak industri Isnin ini bagi mendapatkan komitmen mereka berhubung bekalan serta harga barangan terkawal sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, perbincangan yang melibatkan pengeluar, pembekal, pemborong, pengimport dan persatuan peniaga itu akan mendapatkan maklum balas mengenai penetapan harga dan bekalan barangan termasuk makanan dalam pasaran.

''Ini bertujuan menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak. Kita tidak mahu golongan peniaga rugi dan pada masa sama mahu pengguna membeli pada harga yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Ops Harga 2013 di Pasar Besar Seremban, di sini hari ini.

Menurut beliau, Ops Harga 2013 yang dilancarkan serentak di seluruh negara itu merupakan langkah penguatkuasaan KPDNKK bagi menangani isu kenaikan harga barangan keperluan dan persediaan menjelang musim perayaan.

Jelasnya, seramai 1,845 anggota penguat kuasa di seluruh negara akan terlibat melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas semua peringkat perniagaan termasuk pembekal, pengedar, pemborong dan peruncit melalui inisiatif tersebut.

''Ops Harga 2013 dilakukan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi harga kerana mahu mengaut keuntungan berlebihan.

''Ia akan dilakukan secara berterusan meliputi kawasan bandar dan luar bandar di lokasi tumpuan pengguna seperti pasar basah, pasar tani, pasar raya, hypermarket, restoran serta medan selera," ujarnya.

Kata beliau, dalam usaha menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

''Individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, mereka pula berhadapan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 dan bagi individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000 dan kompaun sehingga RM10,000," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah, KPDNKK juga menempatkan Kaunter Khidmat Pengguna dan Alat Timbang di pasar utama seluruh negara bermula 1 Julai lalu.

''Kaunter berkenaan memberi khidmat kepada pengguna untuk mendapat maklumat mengenai isu perundangan selain kemudahan membandingkan timbangan barangan yang dibeli di pasar," katanya.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Timbalannya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kementerian akan menjalankan penguatkuasaan menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar bagi mengawal kenaikan harga barangan sempena pelancaran Ops Harga 2013.

Katanya, pegawai penguat kuasa yang terbabit akan menjalankan pemeriksaan serta pemantauan ke atas semua peringkat perniagaan seperti pengilang, pembekal, pemborong, pasar raya, bazar Ramadan, pasar tani serta lain-lain lagi.

"Pemeriksaan ini turut melibatkan agensi lain yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan.

"Pemeriksaan merangkumi semua barang keperluan terutama barang kawalan, barang makanan, barang kegunaan rumah serta makanan dan minuman yang sedia dimasak," katanya selepas melancarkan Ops Harga 2013 di Pasar Besar Awam, dekat sini hari ini.

Menurutnya, Ops Harga 2013 itu dijalankan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga tidak meletakkan tanda harga bagi setiap barangan jualan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment