My Add

Tuesday 9 July 2013

Orang tengah dihapus elak harga barang basah naik

KUALA LUMPUR, SELAA, 09 Julai, 2013: Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani akan terus melaksanakan langkah proaktif menghapuskan penguasaan orang tengah dalam pasaran hasil pertanian sekali gus mengelak kenaikan harga barang basah.

Timbalan Menterinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, langkah itu melibatkan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan sasaran menambah lebih banyak pasar tani, pasar nelayan, pasar komuniti dan pasar karavan (Pakar), Agro Bazar dan gerai buah-buahan segar (GBBS).

"Sebanyak 500 pasar tani diwujudkan dan kita sasar 1,000 lagi dalam masa tujuh tahun akan datang," katanya menjawab soalan Manivanan Gowindasamy (PKR-Kapar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Manivanan bertanya tentang usaha kementerian untuk menangani dakwaan kenaikan harga barang basah yang boleh membebankan rakyat.

Tajuddin berkata, Fama turut menyasarkan penubuhan 100 pasar nelayan dalam masa dua tahun berbanding 36 sekarang, di lokasi ikan dinaikkan.

Bilangan Pakar juga akan ditambah kepada 50 berbanding lapan sekarang, sementara Agro Bazar dan GBBS akan ditambah kepada masing-masing 500 dan 350 dalam masa beberapa tahun akan datang.

Katanya, semua usaha itu dibuat untuk membolehkan petani, nelayan dan penternak memasarkan hasil secara terus kepada pengguna dan mengelak harga melonjak apabila sampai ke tangan pengguna melalui penglibatan orang tengah.

Kementerian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia juga berhasrat menambah bekalan ikan air tawar sehingga 50 peratus berbanding hanya 10 peratus.

"Selain menjamin bekalan ikan kerana ia tidak terdedah kepada risiko cuaca dan sebagainya, langkah itu juga bagi menjamin harga ikan lebih rendah apabila bekalan mencukupi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment