My Add

Monday 29 July 2013

Pahang wartakan haram ajaran Syiah

 * TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penduduk miskin pada Majlis Khatam al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di Masjid Kampung Pandan 2, Kuantan, Pahang, kelmarin. - BERNAMA
KUANTAN, AHAD, 28 Julai, 2013: Pahang akan mewartakan pengharaman ajaran Syiah bagi membendung penularannya yang boleh membawa kesan negatif kepada akidah umat Islam di negeri ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pengharaman ajaran itu sudah lama dilaksanakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), cuma belum diwartakan lagi.

Baginda yang juga Yang Dipertua Muip bertitah, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah menetapkan ajaran tersebut diharamkan di negeri ini.

"Kita telah mengharamkan ajaran Syiah kerana dalam negara kita dan Pahang, majoritinya ialah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jadi kita akan wartakan pengharamannya tidak lama lagi bagi memudahkan penguatkuasaannya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Khatam al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri di Masjid Kampung Pandan 2 di sini semalam.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Johari Hussain; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Zaili Besar.

Pada majlis itu, sebanyak 500 peserta berusia 18 hingga 42 tahun terdiri daripada pelajar Maahad Tahfiz dan pertubuhan belia dari seluruh daerah di negeri ini mengambil bahagian.

Tengku Abdullah bertitah, jika diperhatikan di negara-negara lain bahawa kesan ajaran tersebut begitu ketara sekali dan berharap tidak ada perselisihan faham disebabkan akidah di negeri ini.

"Kita harus kekalkan apa yang ada dan tingkatkan pengetahuan ajaran kita dalam hal-hal agama yang kita mendalami selama ini," titah baginda. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment