My Add

Monday 29 July 2013

Syiah: Terserah parti masing-masing

Oleh NORAZRIN MARZUKI

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk mengenakan tindakan terhadap beberapa pemimpin parti pembangkang yang dikesan menjadi dalang penyebaran fahaman Syiah di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya hanya meneliti perkara tersebut berdasarkan aspek keselamatan dan tidak menjurus kepada akidah dan politik.

"Jika terdapat beberapa unsur melibatkan keselamatan kita akan ambil tindakan tetapi jika melanggar akidah dengan menghebahkan fahaman yang sudah pun difatwakan salah di sisi mazhab Sunnah Wal Jamaah maka pemimpin-pemimpin parti tersebut perlu mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

"Kita percaya pucuk pimpinan parti terlibat juga tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang nyata salah di sisi ajaran Islam yang sebenar," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Kompleks Jabatan Penjara Sungai Buloh dekat sini malam ini.

Dalam majlis itu, beliau meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pegawai penjara tersebut.

Ahmad Zahid sebelum ini mengesahkan terdapat beberapa pemimpin dari sebuah parti pembangkang secara aktif terlibat menghebahkan fahaman ajaran Syiah di beberapa negeri.

Sementara itu beliau berkata, kajian dan penelitian yang dilakukan pihak kementerian mengesahkan memang ada di antara beberapa pemimpin parti pembangkang yang dikesan terlibat dalam penyebaran fahaman tersebut.

Menurutnya, pucuk pimpinan parti itu juga telah mengiktiraf bahawa mereka tidak bersekongkol dengan mana-mana pemimpin dalam parti terbabit yang menyebar fahaman daripada mazhab yang bukan menjadi amalan di negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment