My Add

Friday 19 July 2013

PDRM tubuh pasukan khas tangani isu pengundi hantu, tahan bas

KUALA BESUT, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengaktifkan pasukan khas bagi menangani isu 'pengundi hantu' serta penahanan bas penyokong sekiranya berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pada 24 Julai.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid, berkata meskipun belum ada insiden sedemikian dilaporkan, namun pihaknya bersedia menangani isu tersebut melalui pasukan khas berkenaan.

"Kita ada pasukan khas yang akan menangani isu tersebut dan jika insiden seperti itu berlaku tindakan segera akan dikenakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Dalam pada itu beliau berkata, polis bersedia menambah jumlah anggota polis sepanjang proses PRK itu berlangsung, namun ia bergantung kepada keperluan.

"Kita mempunyai kekuatan anggota yang cukup dan bersedia hadapi apa jua yang bakal berlaku pada pilihan raya ini dan jika tidak mencukupi kita akan tambah bagi melicinkan proses pilihan raya.

"Lazimnya, pada hari pengundian akan berlaku kekecohan dan ketegangan namun kita mempunyai strategi tersendiri untuk menangani ketegangan itu dan akan memastikan proses pengundian berjalan lancar," katanya.

Salleh berkata, sejak hari penamaan calon sehingga kini, penugasan pihak polis berada di tahap terbaik dan terkawal dan berharap ia terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Dalam pada itu, katanya polis turut menyiasat tiga laporan sepanjang kempen berlangsung melibatkan kes bakar bendera, ceramah tanpa permit dan laporan yang dibuat Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh berhubung kenyataan yang didakwa berbaur hasutan.

Beliau turut mengingatkan penyokong parti yang bertanding agar tidak menimbulkan provokasi sepanjang proses PRK berlangsung dan memohon permit untuk menganjurkan ceramah.

"Orang ramai yang ingin keluar mengundi tidak perlu bimbang untuk menunaikan tanggunjawab itu dan jika terdapat masalah mahupun ancaman, segera hubungi polis untuk diambil tindakan," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment