My Add

Friday 19 July 2013

SPAD beri jaminan bas sempena Aidilfitri mencukupi

JERTIH, JUMAAT, 19 Julai, 2013:: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memberi jaminan bilangan bas untuk membawa penumpang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilifitri awal bulan depan mencukupi.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pihaknya sudah menerima beberapa permohonan daripada pengusaha bas bagi mendapatkan Lesen Pelepasan Sementara (LPS) menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Alhamdulillah saya fikir orang yang paling suka balik kampung adalah dari pantai timur, sampai tiket bas pun dah habis sebelum 9 Julai. Tapi kita tak nak menyusahkan penumpang, kalau dah habis tiket bas biasa kita akan keluarkan LPS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan program turun padang bagi mendengar permasalahan pemandu teksi di Pejabat Persatuan Pemandu Teksi Daerah Besut, di sini, hari ini.

Syed Hamid berkata, SPAD hanya meluluskan kenderaan yang kurang dari 12 tahun untuk perjalanan 300 kilometer ke atas manakala tempoh LPS boleh digunakan selama tujuh hari sebelum Aidilfitri dan lapan hari selepas itu.

Justeru, beliau menasihatkan penumpang yang akan pulang ke kampung supaya mendapatkan tiket bas daripada pengusaha dan ejen yang sah bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa depan.

Sementara itu, SPAD akan bekerjasama dengan Pos Malaysia bagi memudahkan pemandu teksi melakukan pembaharuan lesen dan Kad Pemandu di pejabat pos berdekatan. 

Katanya, langkah berkenaan bertujuan bagi mengurangkan beban kos pengangkutan pemandu teksi yang menjalankan pekhidmatan di kawasan kampung dan pedalaman.

"Ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Kita faham beban yang mereka tanggung, sebagai contoh pemandu teksi di daerah Besut mereka terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 untuk ke Kuala Terengganu," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment