My Add

Thursday 18 July 2013

Pelaburan RM1.96b di Koridor Utara

PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013: Koridor Utara mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan dengan pengumuman empat projek baharu bernilai RM1.96 bilion yang bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Empat projek baharu tersebut melibatkan pembinaan pusat beli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah.

Projek pelaburan lain yang diumumkan hari ini ialah pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan, UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

Majlis pertukaran memorandum pelaburan tersebut disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq dengan pihak pelabur iaitu JPB Asia Pacific Sdn. Bhd., UWC Industrial Sdn. Bhd., Unifortune Holdings Sdn. Bhd. dan Seri Chenang Resort Langkawi Sdn. Bhd.

Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Redza berkata, semakin banyak syarikat asing telah menunjukkan minat untuk melabur di Koridor Utara yang meliputi empat negeri di Semenanjung.

''Pelaburan yang diumumkan hari ini umpamanya membabitkan pertukaran kemahiran dan teknologi dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.

''NCIA sentiasa berusaha membawa kemahiran asing ke Koridor Utara supaya kesan pelaburan itu boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya.

Walaupun berdepan suasana ekonomi global yang belum menentu, NCIA tetap menyasarkan pelaburan bernilai RM10 bilion di Koridor Utara pada tahun ini.

Tahun lalu, wilayah itu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.3 bilion dengan 16,355 peluang pekerjaan diwujudkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment