My Add

Friday 19 July 2013

Pelajar tahfiz bertalaqqi al-Quran di Yemen

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

SEPANG, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Pertubuhan Kebajikan Pelajar-Pelajar Tahfiz Malaysia (Tahfiz) buat julung kalinya menganjurkan program bertalaqqi al-Quran dan bersanad di Sanaa, Yemen sempena Ramadan ini.

Presiden Tahfiz, Datuk Mustapa Othman berkata, sebanyak 50 pelajar hafiz berumur antara 11 hingga 19 tahun dipilih dari sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara untuk mengikuti program tersebut.

Menurutnya, para peserta akan diiringi 10 petugas dan urus setia bagi menjayakan program selama 28 hari bermula 20 Julai ini.

"Untuk makluman, pada awalnya program ini dirancang diadakan di Masjidilharam, Mekah tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat pelepasan visa daripada pihak Kedutaan Arab Saudi.

"Setelah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, keputusannya pelajar-pelajar tahfiz ini dibawa ke Sanaa, Yemen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar rombongan pelajar hafiz berkenaan berlepas ke Yemen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Kamaruddin Mat Ali.

Tabung Haji membiayai keperluan penginapan, pengangkutan, makan dan minum serta tiket penerbangan para peserta ke Yemen yang melibatkan tajaan bernilai RM500,000.

Seorang peserta yang ditemui, Muhd. Danish Wafiq, 13, berkata, dia berasa sangat bertuah kerana terpilih mengikuti program tersebut dan telah menjalani latihan secara berkumpulan bersama rakan-rakannya.

Anak keempat daripada enam beradik yang berasal dari Klang mengaku agak gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya bertalaqqi di luar negara.

Bagi Mohd. Hazim Farhan, 13, pula berkata, dia bersedia mengikuti program tersebut kerana telah menjalani latihan setiap hari di sekolah bersama-sama rakan dan ustazah untuk melancarkan bacaan.

"Terima kasih kepada keluarga yang banyak memberikan sokongan untuk saya mengikuti program ini," katanya yang juga berasal dari Klang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment