My Add

Saturday 6 July 2013

Pencarum KWSP tak perlu risau

 Daripada Kadir Dikoh di London

 * NAJIB pada sidang media pada akhir lawatan kerja 4 hari ke UK di London, semalam.
Penggunaan dana pencen beri pulangan tinggi: Najib

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu risau mengenai pembabitan dana pencen itu melabur dalam projek hartanah terbesar di United Kingdom (UK), iaitu pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea di London.

Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka harus melihat ia sebagai pelaburan jangka panjang yang menjanjikan pulangan tinggi dan pasti menguntungkan Malaysia secara keseluruhan.

Jika KWSP dapat keuntungan besar, penyimpan (pencarum) KWSP akan dapat pulangan lebih baik. Ada juga kekangan untuk kita mendapat pulangan tinggi jika kita tumpu kepada pasaran domestik saja.

Kita mesti lihat jangka panjang. Ini adalah konsortium Malaysia dan projek ini ada asas pulangan yang tinggi. Oleh itu, apa juga yang kita labur, sebahagian besar dananya dipinjam daripada bank.

Untung jangka panjang

Jadi, ia juga tidak membabitkan aliran kewangan keluar dari Malaysia dan pulangannya begitu tinggi. Ini bererti pada jangka panjang, projek ini akan menguntungkan Malaysia, kata Perdana Menteri pada akhir lawatan kerja empat hari ke UK di London, semalam.

Malaysia muncul sebagai pelabur tunggal terbesar dalam sektor hartanah di UK melalui projek pembangunan semula stesen janakuasa Battersea bernilai 8 bilion pound (RM39.2 bilion) itu.
Projek dimiliki konsortium KWSP, Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd itu dilancarkan bersama oleh Najib dan Perdana Menteri Britain, David Cameron, di pinggir Kota London, kelmarin.

Tingkat hubungan dua hala

Mengenai pertemuannya dengan Cameron, Najib berkata, mereka bersetuju untuk terus meningkatkan hubungan dua hala yang lebih baik dalam semua bidang, terutama perdagangan dan pertahanan termasuk pertukaran maklumat serta pendidikan.

Bagaimanapun mereka tidak berbincang mengenai isu penyalahgunaaan visa rakyat Malaysia di UK. Dilaporkan, kira-kira 20,000 rakyat Malaysia tinggal secara haram di UK selepas tamat tempoh visa enam bulan atau menyalahgunakan visa.

Namun, kita akan memantau keadaan ini. Apa yang penting untuk rakyat kita ialah menghormati undang-undang negara lain... jangan tinggal melebihi had, katanya.

Najib berkata, Cameron juga gembira kerana London dipilih menjadi tuan rumah Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-9 Oktober ini, dan akan hadir pada forum yang kali pertama diadakan di luar negara Islam.

Ini memberikan peluang baik untuk kita memperluaskan hubungan perdagangan, pelaburan dan rangkaian perniagaan antara dunia Islam, khususnya Malaysia dan negara yang terbabit dalam forum ini, terutama Eropah, katanya. - BH

No comments:

Post a Comment