My Add

Monday 29 July 2013

Pendedahan buka mata rakyat

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Penafian Jasbir Singh Chahl terhadap sebarang elemen rasuah dalam urus janji Scorpene dilihat sebagai satu tindakan bijak yang dapat membuka mata rakyat berhubung ketelusan pembelian aset ketenteraan di negara ini.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perkara ini berikutan wujudnya segelintir pihak yang sentiasa cenderung untuk mempolitikkan isu aset ketenteraan sehingga mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

"Ramai yang memainkan serta mempolitikkan isu Scorpene ini kerana mereka mempunyai agenda tertentu namun begitu, penjelasan Jasbir merupakan sesuatu yang membantu dapat menjernihkan kekeruhan isu berkenaan.

"Saya tidak mengenali lelaki ini (Jasbir) tetapi saya percaya beliau adalah seorang yang bertanggungjawab dalam memastikan rakyat tidak terperangkap dalam kecelaruan hasil ciptaan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jasbir sebelum ini yang menafi sekeras-kerasnya kewujudan elemen rasuah dalam urus janji Scorpene.

Perspektif negatif yang sengaja dimainkan pihak tertentu berhubung isu pembayaran RM452 juta (115 juta euro) sebagai 'komisen' kepada Perimekar Sdn. Bhd. disangkal Jasbir Singh Chahl.

Beliau menegaskan, jumlah itu sebenarnya bayaran khidmat pengurusan bagi syarikat berkenaan.

Jasbir yang pertama kali bercakap mengenai urus janji itu, berkata syarikat berkenaan bertanggungjawab dalam logistik dan latihan pegawai serta anggota Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam pada itu, Abdul Aziz meminta semua pihak agar tidak mewujudkan sebarang persepsi negatif berhubung pembelian aset-aset ketenteraan kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada tanggapan umum terhadap pasukan pertahanan.

"Pendedahan ini secara langsung memerangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus mempolitikkan isu pembelian Scorpene dan sekali gus memberi pengajaran kepada pembangkang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment