My Add

Monday 15 July 2013

Pengguna perlu lebih aktif lapor kenaikan harga ayam: Hasan Malek

JERTIH, ISNIN, 15 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meminta pengguna memainkan peranan lebih aktif dengan melaporkan segera sebarang kenaikan harga ayam bagi mengekang tindakan peniaga yang sewenang-wenang berbuat demikian.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pengguna tidak boleh berlengah membuat aduan jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga ayam melebihi paras ditetapkan kerajaan.

"Kalau ada peniaga naikkan harga, penguna kena buat aduan kepada kementerian," katanya ketika lawatan ke Pasar Borong Kampung Lampu, Kuala Besut, pagi tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai segelintir peniaga yang menjual ayam melepasi harga siling iaitu RM6 sekilogram.

Baru-baru ini, akhbar melaprokan peniaga dan penternak ayam akur untuk mengekalkan harga silingnya pada RM6 sekilogram seperti yang ditetapkan kerajaan.

Ia berikutan, mereka bimbang amaran kerajaan untuk mengimport ayam hanya akan menjejaskan pendapatan peniaga dan penternak ayam yang perlu bersaing dengan produk luar negara.

Hasan berkata, pengguna tidak boleh menuduh kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga ayam. 

"Kalau nak ambil tindakan undang-undang kena ada bukti jelas, kena ada resit. Aduan yang jelas, kita sudah ambil tindakan, kalau diragui tidak boleh.

"Mereka (Peniaga) juga ada peguam dan boleh lawan kita kalau buat tuduhan salah. Aduan kena tepat supaya kita mudah ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di Pasar Borong Kuala Besut, Ghazali Wan Ibrahim, 45, berkata, beliau menjual ayam pada harga RM7 sekilogram biarpun ada tempat lain yang menaikkan harga sehingga RM9 sekilogram.

"Memang harga sebelum bulan puasa lebih murah. Walaupun tempat lain jual lebih mahal, saya tetap RM7 sekilogram dan masih dapat untung," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment