My Add

Saturday 20 July 2013

Pengurus dana asing terus pacu ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Julai, 2013: Pengurus dana asing dijangka menjadi pemangkin utama memacu ekonomi Malaysia dalam bergerak ke hadapan, kata ketua pegawai eksekutif Aberdeen Islamic Asset Management Sdn Bhd, Johari Ali Abdullah.

Sambil menyatakan yang pelabur asing kebanyakannya melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan paling selamat pada masa ini, beliau meramalkan yang pemilikan asing di dalam pasaran akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Untuk separuh pertama tahun ini, dana institusi asing merupakan pembeli bersih di pasaran sementara institusi tempatan pula peneroka bersih," kata beliau dalam persidangan akhbar bersempena dengan Persidangan Pelaburan Tahunan kelapan PhilipCapital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan PhilipCapital Management Sdn Bhd, Ang Kok Heng berkata tinjauan ekonomi tahun depan dijangka stabil ekoran sokongan kukuh daripada para pengurus dana tempatan.

"Pasaran tempatan pada masa ini mengikut sentimen serantau semasa yang telah mula pulih daripada prestasi lemah mereka dalam beberapa bulan sebelum ini.

"Meskipun Amerika Syarikat mungkin mengurangkan belian bon, mereka tidak akan menaikkan kadar faedah secepat mungkin. Dalam regim kadar faedah yang rendah, ia masih lagi positif untuk pasaran saham.

"Kadar faedah tidak akan meningkat dalam waktu terdekat, maka keadaan masih selamat. Walaupun kadar faedah akan meningkat, saya rasa, secara umumnya, ia amat rendah, dari 0.5-1 peratus. Malah kalau dua hingga tiga peratus pun, saya rasa ia masih boleh bertahan kerana perolehan dividen masih lagi tinggi," kata Ang.

Persidangan satu hari itu ialah untuk menyediakan para pelabur dengan platform yang unik untuk meninjau idea pelaburan, metodologi pelaburan dan alat urus niaga. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment