My Add

Saturday 20 July 2013

PRK Kuala Besut: SPR sasar 95 peratus pengundi awal

KUALA BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung hari ini adalah sebanyak 95 peratus.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sehingga 11 pagi ini, peratusan keluar mengundi adalah 53 peratus dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang petang nanti.

"Kalau kehadiran undi awal melebihi 95 peratus maknanya ia satu kejayaan kerana ada pegawai tidak berada dalam kawasan disebabkan terpaksa menghadiri kursus dan jemputan lain," katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini yang melibatkan dua saluran.

Wan Ahmad berkata pihak SPR telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan TUDM Gong Kedak supaya mengatur anggota yang layak mengundi untuk datang ke pusat pengundian secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan selain terpaksa beratur panjang.

Seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRK DUN Kuala Besut.

Para pegawai dan anggota kedua-dua pasukan keselamatan itu serta pasangan mula beratur seawal 7.30 pagi meskipun pusat pengundian hanya dibuka tepat 8 pagi.

Undian awal itu juga menyaksikan pengundi mencelup jari ke dalam dakwat kekal berwarna ungu, berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa pilihan raya umum Mei lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment