My Add

Saturday 20 July 2013

Pengusaha kosmetik ditembak

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 * ANGGOTA polis memeriksa tempat Beh Chee Kong ditembak di Taman Kinrara, Puchong, dekat Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ FATHEEN ELLYN EZREEN ROSLI
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Seorang ahli perniagaan lelaki cedera selepas ditembak di lengan ketika rumahnya dipecah masuk dua lelaki di Taman Kinrara, Puchong dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 5.30 pagi ketika mangsa, Beh Chee Kong, 38, tidur bersama isteri dalam bilik sebelum dua suspek dipercayai warga asing tiba-tiba muncul dan melepaskan satu das tembakan mengenai lengan peniaga kosmetik itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, pihaknya menyiasat kes ini sebagai kes samun namun belum dapat memastikan barangan yang dilarikan suspek.

Menurut beliau, sebelum kejadian itu mangsa bersama keluarganya baru pulang meraikan majlis ulang tahun kelahiran anak mereka.

"Selepas memasuki rumah, mangsa dipercayai tidak mengunci pintu masuk utama. Polis percaya suspek menggunakan pintu itu untuk masuk dan melarikan diri.

"Kita juga masih menyiasat sama ada berlaku pergelutan ketika kejadian itu. Bagaimanapun semua anggota keluarga lain tidak mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Menurut Abd. Razak, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Sunway oleh keluarganya selepas kejadian dan kini menerima rawatan di situ.

Abd. Razak berkata, semasa kejadian, terdapat saksi yang ternampak dua lelaki melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Chevrolet berwarna putih.

"Sepasukan anggota dari unit forensik telah dihantar ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment