My Add

Saturday 20 July 2013

IRDA giat promosi luar negara

Oleh NURUL HUDA HASSAN dan IFQDAR A. RAHMAN

 Ismail Ibrahim
NUSAJAYA, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan menerus dan memperhebatkan usaha mempromosi serta menggalakkan pelaburan dari luar negara ke Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, usaha tersebut akan terus dipergiatkan termasuk di Asia Barat, Jepun dan Korea, selain di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, Iskandar Malaysia dijangka akan terus menerima pelaburan dari Singapura dan Indonesia yang kini dilihat bertambah minat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan wilayah itu.

"Sebab itu sejak kebelakangan ini, kita banyak membuat kunjungan ke Indonesia khususnya ke Surabaya, Semarang dan Jakarta dalam usaha untuk memastikan kita dapat menyampaikan maklumat tentang Iskandar Malaysia.

"Kita berharap dapat perhatian peniaga Indonesia yang ingin mengembangkan perniagaan dan seterusnya melabur di wilayah itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa IRDA dan UMLand Bersama Media, di sini semalam.

Ismail berkata, bagi pelabur Indonesia yang berminat, pihaknya akan terus menekankan kepada bidang yang diberi pengkhususan seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama pelancongan, pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada Jepun dan Korea Selatan yang dilihat turut menunjukkan minat.

"Sudah tentu, Jepun dan Korea Selatan serta negara maju yang lain sentiasa berminat melabur dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan dan kita juga mempunyai perancangan masa panjang untuk bidang itu.

"Sebagai contoh, kita akan menggalakkan negara yang ingin melabur di sini untuk mengkhususkan pelaburan mereka dalam sektor perkhidmatan atau pendidikan supaya ia dapat dimanfaatkan penduduk tempatan," katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata, pelabur sektor pembuatan akan terus digalakkan untuk mengamalkan penggunaan teknologi tinggi di samping menggunakan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment