My Add

Friday 26 July 2013

Perak, NS dapat imbuhan raya

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan Ainol Amriz Ismail

*  ZAMBRY Abd. Kadir bersama barisan kepemimpinan pasukan keselamatan yang menerima kuih raya pada majlis penyerahan kuih raya sumbangan kerajaan negeri dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) di Ipoh, semalam. - BERNAMA
IPOH, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bonus khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 kepada kira-kira 14,000 kakitangan awam termasuk berstatus kontrak dan sambilan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, golongan terbabit termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan, akan menerima bonus berkenaan kira-kira dua minggu sebelum sambutan perayaan tersebut.

''Pemberian bonus khas ini sebagai mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan yang memberikan bonus khas Hari Raya kepada penjawat awam di seluruh negara," katanya.

Zambry mengumumkan berita baik itu pada majlis penyerahan kuih raya kepada pasukan keselamatan sempena Hari Raya Aidilfitri 2013 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disalurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri).

Zambry berkata, pemberian bonus khas itu membolehkan kakitangan awam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Sementara itu di SEREMBAN, kerajaan negeri akan mengkaji imbuhan untuk kakitangan awam sekurang-kurangnya sama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian imbuhan itu akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan semua kakitangan pentadbirannya.

''Seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, kita menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian imbuhan hari raya.

''Imbuhan ini akan diberikan kepada semua kakitangan kerajaan negeri sama ada yang bertaraf tetap atau kontrak dan sandaran serta untuk semua kakitangan perbadanan, agensi di bawah kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan," katanya.

Mohamad ditemui selepas menyampaikan duit raya kepada orang ramai, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau hari ini.

Dalam masa yang sama, Mohamad gembira kerana ramai rakyat yang hadir di pusat khidmat beliau dan kehadiran itu menunjukkan kekuatan hubungan sesama insan.

''Ini bukanlah kerana duit raya semata-mata tetapi untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan pemimpin. Saya bangga dengan kehadiran ini dan yakin orang ramai akan sentiasa mengekalkan hubungan baik antara rakyat dan pemimpin," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment