My Add

Friday 26 July 2013

Kerajaan Kedah nilai opsyen terbaik selamatkan Kuin

ALOR SETAR, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Kerajaan negeri sedang menilai opsyen terbaik untuk menyelamatkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) meskipun mungkin terpaksa 'mengorbankan' infrastruktur fizikal sedia ada bagi menjayakan matlamat berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan mahu menyelamatkan kolej universiti itu yang melibatkan keseluruhan warganya dan pada masa sama memastikan aspek pembelajaran serta pelajarannya sempurna.

"Apabila kita ada satu matlamat seperti ini, maksudnya kita boleh mengambil kira sebarang opsyen. Kadang-kadang kita tidak semestinya menyelamatkan satu infrastruktur fizikal jika didapati tidak memberi manfaat kepada Kuin secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Ihya Ramadan anjuran Telekom Malaysia Bhd. (TM) Kedah dan Perlis di pekarangan Kompleks TM Alor Setar di sini hari ini.

Menteri Besar ditanya mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri akan menjual kampus baharu Kuin di Kuala Ketil.

Mukhriz berkata, timbul persoalan di peringkat kerajaan negeri mengenai kewajaran kewujudan kampus Kuin Kuala Ketil apabila perlu membelanjakan antara RM46 juta hingga RM52 juta setiap tahun hanya untuk mengendalikan operasinya.

Sedangkan, kata beliau, operasi institusi pengajian tinggi lain membawa keuntungan dan tidak memerlukan banyak dana daripada kerajaan.

Tambah beliau, semua pihak juga harus faham bahawa kerajaan Kedah bukan dalam kalangan negeri kaya dan jika ada peruntukan, keutamaan diberikan kepada projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat seperti pembinaan rumah kos rendah serta mampu milik.

"Bagaimanapun seperti jaminan saya sebelum ini, kepentingan mahasiswa kita utamakan dan meminta mereka supaya tidak bimbang mengenai hal ini. Yang penting apabila pelajar Kuin mendapat ijazah, mereka boleh diterima oleh majikan dan memenuhi piawaian," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment