My Add

Friday 5 July 2013

Perhalusi segera isu tukar agama kanak-kanak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Kerajaan perlu segera memperhalusi isu berhubung pertikaian membenarkan ibu atau bapa menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam kerana perkara tersebut melibatkan akidah dan persepsi masyarakat terhadap agama Islam.

Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim, Ann Wan Seng berkata, antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah memperuntukkan satu undang-undang khas bagi mewujudkan ketetapan yang harus diikuti sebelum prosedur pertukaran agama dijalankan.

Katanya, bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil juga harus diperjelaskan kerana terdapat kes sebegitu dibawa ke mahkamah yang tidak dikhususkan untuk membincangkan tentang kesalahan melibatkan agama Islam.

"Sebelum perkara ini menjadi lebih serius, kerajaan wajar memperhalusi masalah ini dengan kadar segera supaya masyarakat faham," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berkata, pertikaian isu berhubung membenarkan salah seorang ibu atau bapa untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam perlu diperhalusi.

Mohamed Nazri berkata, hal ini kerana penukaran agama seorang kanak-kanak di bawah umur tidak boleh ditentukan oleh satu pihak sahaja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Abdul Hamid berkata, isu memperhalusi pertikaian tersebut harus dibincangkan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jelasnya, perkara itu juga harus dibincangkan secara tertutup melalui forum atau persidangan bagi mengelakkan daripada wujud kekeliruan dalam masyarakat.

"Jika mahu perhalusi, wajar kita rujuk kepada pihak berwibawa dan mereka yang pakar dalam hukum hakam supaya tidak menjejaskan nama baik Islam," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment