My Add

Friday 5 July 2013

ATM sedia pelan tindakan bawa pulang rakyat kita

SEREMBAN, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mempunyai pelan tindakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir sekiranya krisis politik di negara itu bertambah buruk.

Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, buat masa ini belum ada keperluan berbuat demikian dan tindakan lanjut mengenainya hanya akan dibuat dengan koordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, pihaknya percaya krisis politik di negara berkenaan dapat diselesaikan tidak lama lagi dan keadaan akan menjadi reda.

"Perancangan membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir sudah ada kerana kita telah menjalin hubungan dengan beberapa pihak di rantau itu selepas kali pertama terbabit dalam Ops Piramid pada 2011.

"Pengalaman tersebut membolehkan kita menggerakkan semula operasi yang sama sekiranya ada keperluan berbuat demikian," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, dekat sini hari ini.

Pada Februari 2011, kerajaan melaksanakan Ops Piramid bagi membawa pulang lebih 8,341 rakyat Malaysia, kebanyakannya penuntut universiti di Mesir berikutan krisis politik di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Zulkifeli memberitahu, ATM bersedia menggerakkan pasukan kemanusiaan dan bencana jika diminta membantu wilayah Aceh yang dilanda gempa bumi Selasa lalu.

Katanya, negara-negara ASEAN mempunyai jaringan antara negara yang membolehkan setiap negara menghantar pasukan tersebut jika keadaan memerlukan.

"Malah, dua minggu lalu, sebanyak 18 buah negara telah menyertai eksesais di Brunei yang menyaksikan pasukan tentera masing-masing dan aset ketenteraan digerakkan bagi operasi kemanusiaan dan bencana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment