My Add

Monday 22 July 2013

Perkasa persoal tindakan Malaysian Insider siar laporan asing sokong Alvin, Vivian

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoal tindakan portal berita propembangkang, The Malaysian Insider menyiarkan laporan berita dari Singapura yang menyokong tindakan biadab pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda Ramadan.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau tidak faham mengapa portal berita itu menyiarkan artikel tersebut sedangkan tidak dapat dipastikan sama ada luahan itu benar-benar daripada orang muda Islam di Singapura atau sebaliknya.

"Apa tujuan Malaysian Insider siarkan artikel berkenaan? Mengapa mahu siarkan untuk bacaan rakyat negara ini?

"Adakah artikel ini begitu penting untuk menunjukkan ada umat Islam yang mempertahan pasangan itu? Adakah mahu tunjukkan luahan hati penulis itu tepat dan betul dalam membela Alvin serta Vivian bagi menafikan kemarahan jutaan umat Islam Malaysia terhadap mereka?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Malaysian Insider menyiarkan laporan bertajuk I am a Muslim and I am not that offended - Young Singaporean Muslim yang memaparkan kenyataan individu yang mendakwa sebagai Islam dan tidak merasakan tindakan Alvin serta Vivian yang menghina bulan Ramadan sebagai isu besar.

Sebelum ini, Alvin dan Vivian yang beberapa kali memuat naik aksi seks mereka di laman sosial mencetuskan kemarahan umat Islam selepas bertindak memaparkan gambar di Facebook sedang menikmati hidangan babi dengan tertera ayat 'Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh (sup tulang babi)... Wangi, enak dan menyelerakan' lengkap dengan logo halal.

Berikutan tindakan itu, pasangan berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis lalu, atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah di sebuah laman web, dua minggu lalu.

Syed Hassan menambah, kes itu sudah dibawa ke mahkamah dan tidak sepatutnya diperbesarkan.

"Adakah Malaysian Insider tidak berpuas hati sebab umat Islam sudah reda kerana Alvin dan Vivian sudah dihadap ke mahkamah? Tindakan portal berita itu seolah-olah mahu menghidupkan semula api perkauman," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment