My Add

Monday 22 July 2013

Empat kanak-kanak mati lemas

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
 
 * REAKSI pasangan, Norhaslinda Talib, 28, dan suaminya, Fadzli Ismail,30, selepas kematian kedua-dua anak, Hanis Balkis Fadzli, 7, dan Mohamad Nazimi Fadzli, 9, yang lemas dalam kejadian di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di Melaka, semalam.
MELAKA, AHAD, 21 Julai, 2013: Hajat empat kanak-kanak termasuk sepasang adik-beradik untuk mencari kepah berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka mati lemas di Sungai Melaka berhampiran Taman Seri Krubong di sini petang ini.

Mangsa ialah Hanis Balkis Fadzli, 7; Mohamad Nazimi Fadzli, 9; Athafiz Amin, 10; dan Radziatul Nadia Rosnan, 12. Empat lagi rakan mereka yang turut serta mencari kepah berusia enam hingga 11 tahun bagaimanapun terselamat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, keempat-empat mangsa dikatakan terlalu leka mencari haiwan tersebut sehingga tidak menyedari termasuk ke bahagian tengah sungai lalu lemas.

Mayat keempat-empat mangsa ditemui oleh anggota penyelamat dan Unit Skuba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Kubu antara pukul 5.50 petang hingga 6.02 petang selepas menerima panggilan pada pukul 4.58 petang.

Dalam pada itu, Timbalan Penguasa Bomba negeri, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, sebanyak dua buah jentera dan seramai 18 anggota penyelamat termasuk 11 anggota unit penyelam daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kubu telah dikerahkan ke tempat kejadian.

"Mayat mangsa pertama yang berjaya ditemui ialah Mohamad Nazimi pada pukul 5.50 petang diikuti adiknya, Hanis Balkis (5.55 petang), Athafiz (6.01 petang) dan Radziatul Nadia (6.02 petang)," katanya ketika ditemui di sini.

Mayat kesemua mangsa dikebumikan di Taman Perkuburan Kampung Cheng di sini malam ini.

Sementara itu, datuk kepada pasangan adik beradik berkenaan, Ismail Hamid, 64, tidak menyangka mimpi jatuh ke dalam lubang gelap beberapa hari lalu merupakan petanda bahawa dia akan kehilangan dua cucu serentak.

"Memang saya sedih dan sayu, mengenangkan cucu yang manja dengan saya terutama Hanis Balkis kini sudah tiada lagi.

"Saya sudah terasa sesuatu yang tidak kena apabila malam tadi Hanis Balkis datang dan tidur berbantal lengan saya kerana sebelum ini dia tidak pernah semanja itu.

"Berbanding dengan Mohamad Nazimi, malam semalam dia langsung tidak mahu masuk ke rumah saya walaupun telah beberapa kali dipanggil kerana sebelum ini dia tidak pernah bersikap sedemikian," katanya.

Menurut Ismail, kedua-dua cucunya itu memang gemar bermain di sekitar sungai tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka walaupun telah beberapa kali diberi nasihat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment