My Add

Monday 15 July 2013

Perketat kawalan keselamatan negara

BAGAN DATOH, AHAD, 14 Julai, 2013: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara berikutan lebih 240 banduan meloloskan diri dari Penjara Tanjung Gusta di Medan, Indonesia.

Beliau berkata, pihak Indonesia telah meminta kerjasama kerajaan Malaysia untuk menahan banduan-banduan tersebut yang juga terdiri daripada segelintir rakyat negara ini.

“Apa yang telah dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah memohon kerjasama daripada Pasukan Gerakan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menangkap orang yang disyaki sebagai banduan berkenaan.

“Pihak PDRM juga telah diarahkan untuk melakukan pemantauan di kawasan pantai sekiranya mereka meloloskan diri masuk ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan tahlil serta solat Maghrib di Masjid Al-Khairiah, Selekoh di sini semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 240 banduan melarikan diri selepas merusuh dan membakar bangunan penjara kerana tidak berpuas hati dengan keadaan penjara yang terlalu sesak baru-baru ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment