My Add

Saturday 20 July 2013

Perlu perancangan, strategi hadapi penghinaan Islam

 
KOTA BHARU, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Siri penghinaan terhadap umat dan agama Islam di negara sejak kebelakangan ini dipercayai dibuat secara terancang.

Sehubungan itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, umat Islam perlu mempunyai perancangan dan strategi dalam menghadapi siri penghinaan terhadap mereka dan agama Islam yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam tidak mengambil perhatian dan tidak peduli, dipercayai lebih banyak siri penghinaan akan berlaku pada masa hadapan.

"Justeru umat Islam mesti mempunyai perancangan dan strategi menghadapi perkara tersebut, sekiranya tidak ada kaedah dan pendekatan yang strategik, maka akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.

"Selain itu, siri penghinaan yang berlaku juga bergantung kepada kekuatan umat Islam itu sendiri. Sekiranya golongan tersebut melihat kekuatan kita terhakis, maka mereka makin berani (untuk melakukan penghinaan) dan begitu juga sebaliknya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Shukri berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pasangan tersebut merupakan antara elemen yang perlu dilaksanakan dalam menjaga keutuhan Islam dan penganutnya di negara ini.

"Banyak suara kata kita lemah, longgokan undang-undang sudah ada tetapi lemah dari segi penguatkuasaan.

"Umat Islam tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa, sebaliknya perlu meningkatkan kepekaan mereka terhadap Islam.

"Sensitiviti umat terhadap Islam perlu ada dan ditingkatkan serta menghadapi situasi yang berlaku dengan penuh strategik dan terancang," katanya. - UTUAAN 

No comments:

Post a Comment