My Add

Saturday 20 July 2013

Penculik jual barang kemas Nur Idayu

 * MOHD Riduan Abd. Razak dan Nur Idayu Abd. Aziz menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat anjuran Parlimen Paya Besar di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Nur Idayu Abd. Aziz, 34, yang dilarikan warga Indonesia bulan lalu dipercayai dibawa ke negara berkenaan dengan menaiki tongkang melalui Pelabuhan Klang sehari selepas dia dilaporkan hilang.

Wanita itu juga terpaksa menempuh perjalanan yang panjang termasuk menaiki bas selama lima hari lima malam dari Medan ke Surabaya.

Suaminya, Mohd. Riduan Abd. Razak, 34, mendakwa, warga Indonesia yang dikenali sebagai Saiful, 30-an, turut menjual barangan kemas bernilai RM15,000 milik ibu kepada tiga anak itu sebelum bergerak ke Rambipuji, Jember yang terletak di Surabaya.

"Berdasarkan maklumat penduduk di sana (Surabaya) Saiful hanya mahukan wang dan meninggalkan isteri saya yang dipukau selepas apa dihajati tercapai.

"Malah, isteri saya bukannya mangsa pertama Saiful. Saiful yang kelihatan alim ketika bekerja di sini telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat anjuran Parlimen Paya Besar di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohd. Suhaimi Mohamed Shah.

Menurut Mohd. Riduan, dia bersama tiga rakan ke Surabaya pada 10 Julai lalu selepas mendapat maklumat seorang rakan bahawa isterinya ditinggalkan di sebuah rumah di Desa Kaliwineng, Jember kira-kira enam kilometer dari Surabaya.

"Isteri saya ditinggalkan sendirian di sebuah rumah yang disewa sedangkan Saiful pulang ke rumah isterinya di Wirowongso, Jember iaitu empat jam dari rumah berkenaan.

"Ketika ditemui, Nur Idayu tidak menunjukkan sebarang perasaan dan hanya mengenali saya sebagai orang biasa bukannya suami," katanya.

Tambahnya, menurut kenalan di sana, Nur Idayu sering meracau-racau dengan menunjukkan dia berada dalam keadaan tidak sihat.

"Saya dengan bantuan penduduk di sana membawa isteri mendapatkan rawatan di sana kerana dipercayai terkena ilmu hitam.

"Selepas menjalani rawatan tersebut, Nur Idayu mengenali saya dan mula teringatkan anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, juruteknik yang berpengkalan di Qatar ini turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Paya Besar; ADUN Sungai Lembing dan penduduk kampung serta semua yang terlibat membantu sehingga menemui semula isterinya dalam keadaan yang selamat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment