KOTA BHARU, SELASA, 02 Julai, 2013: Kerajaan disaran memperluaskan pusat jagaan kanak-kanak bagi mengelak penggantungan kepada pembantu rumah Indonesia yang kadar kos pengambilannya semakin meningkat sehingga membebankan rakyat.
Ketua Aktivis Persatuan Penguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr. Farid Abd. Ghani berpendapat, langkah tersebut dilihat wajar bagi membantu rakyat negara ini yang terpaksa membayar harga tinggi semata-mata untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing.
Katanya, selain kerajaan, pihak swasta khususnya syarikat-syarikat juga perlu memainkan peranan dengan turut memperluaskan kewujudan pusat penjagaan kanak-kanak itu di premis mereka untuk kemudahan kakitangan.
"Sekarang ini rakyat sudah tidak ada pilihan lain terpaksa mengambil khidmat orang gaji atau pembantu rumah walaupun terpaksa membayar harga tinggi. Jika langkah seperti ini diambil sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban mereka.
"Kenaikan kos pengambilan amah sebanyak RM8,000 bukan sedikit, ia naik hampir sekali ganda berbanding sebelum ini (RM4,511). Tidak semua orang mampu membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan orang gaji ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan bersetuju menetapkan kos pembantu rumah warga Indonesia pada kadar RM8,000 setelah mengambil kira kos-kos yang wujud antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan penetapan kos tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik Indonesia di Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011 yang tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung), Ahmad Othman pula berkata, kadar baharu pengambilan pembantu rumah warga Indonesia itu terlalu tinggi dan boleh membebankan khususnya mereka berpendapatan sederhana dan rendah.
Katanya, kenaikan itu sangat tidak relevan dan kerajaan perlu mengkaji semula agar dapat mengurangkan lagi kadar tersebut.
"Kerajaan perlu mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ini. Kadar yang ditetapkan itu terlalu tinggi dan boleh menyusahkan golongan yang sudah tidak ada pilihan selain terpaksa menggunakan khidmat orang gaji ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment