My Add

Tuesday 9 July 2013

Persidangan UMNO medan kukuhkan parti

PAGOH, ISNIN, 08 Julai, 2013: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan UMNO di semua peringkat kali ini bukan untuk memenuhi tuntutan Perlembagaan tahunan parti semata-mata tetapi menjadi ruang mengukuh kedudukan parti keramat Melayu itu supaya terus relevan.

Beliau yang merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, persidangan itu juga bagi mencari kelemahan dan menilai kekuatan di peringkat cawangan dan bahagian di samping meningkatkan iltizam serta semangat perjuangan dalam memelihara kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Tujuannya juga untuk parti UMNO ini terus kukuh, kuat, bersatu padu dan dapat memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan supaya perjuangan kita suci dan mendapat keredaan Allah.

"Maknanya, perjuangan UMNO suci serta dituntut agama dan bukan perjuangan politik sempit untuk kepentingan tertentu sahaja," katanya dalam Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Tahunan UMNO Cawangan-cawangan, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, perjuangan UMNO harus diperkukuh kerana pada masa ini orang Melayu berdepan pelbagai ancaman seperti ugutan terhadap institusi diraja, bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh menegaskan, UMNO perlu terus berjuang bagi memenuhi tuntutan memerdekakan orang Melayu daripada cengkaman kejahilan, kemiskinan dan kemunduran.

Untuk itu, kata Muhyiddin, semua pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian termasuk sayap parti perlu memahami peranan masing-masing dan bukan mengejar jawatan.

Dalam masa sama, beliau berharap ahli-ahli UMNO memahami perjuangan parti dan orang Melayu keseluruhannya menerima parti itu supaya UMNO terus relevan.

"Sebab ahli-ahli kita, masyarakat umum dan pengundi kadang-kadang lebih mengetahui daripada kita. Jika kita yang menjadi pemimpin tidak berpengetahuan, maka tidak sesuai kita jadi pemimpin. Mereka tahu apa yang berlaku di seluruh dunia dan buat perbandingan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment