My Add

Tuesday 9 July 2013

Politik sempit boikot media

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Rancangan pembangkang melancarkan gerakan menghasut rakyat memboikot akhbar Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times (NST) dan TV3 menyerlahkan pemikiran sempit mereka dalam berpolitik.

Sambil menjangkakan kempen boikot itu tidak akan berjaya, beberapa pensyarah media berpendapat tindakan tersebut boleh memberi imej negatif terhadap amalan kebebasan media di negara ini.

Pensyarah Sekolah Kajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuziah Kartini Hassan Basri berkata, kempen pembangkang itu juga hanya akan merugikan orang ramai yang disekat daripada mendapat maklumat menerusi pelbagai sumber.

Menurut beliau, orang ramai perlu mempunyai kepelbagaian dalam sumber bacaan dan mempunyai kuasa menghakimi setiap maklumat yang diperoleh menerusi pembacaan mereka.

"Pembangkang boleh mendabik dada kerana mempunyai portal berita dan media sosial di belakang mereka, namun apakah semua rakyat mahu membaca media tersebut? Apakah portal itu sama dengan akhbar arus perdana?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas rancangan pembangkang itu yang dikatakan akan dilaksana selama tiga tahun sebelum Pilihan Raya Ke-14.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli mendakwa, tindakan boikot itu yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri ini akan dilaksana sehingga keempat-empat organisasi media berkenaan bankrap.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Hassan Azhari berkata, pembangkang seharusnya mendukung perjuangan kebebasan media yang selama ini dicanang mereka.

Katanya, semua pihak perlu menghormati hak kebebasan berkarya wartawan menerusi medium masing-masing kerana perkara tersebut penting dalam sesebuah negara maju.

"Siapa pembangkang mahu menentukan pilihan bahan bacaan orang ramai? Pengguna lebih bijak menilai pembacaan mereka, bukan pihak yang berkepentingan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment