My Add

Monday 15 July 2013

Pertahan kesucian Islam

Oleh HELMI MOHD. FOAD

 * NAJIB Razak bersama pemimpin UMNO (dari kiri) Bendahari UMNO Selangor, Datuk FD Iskandar Mansor, Noh Omar, Amiruddin Setro, Shukor Idrus dan Irmohizam Ibrahim (kanan) dalam majlis berbuka puasa di Masjid Jamiuridhuan di Jeram, Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
KUALA SELANGOR, AHAD, 14 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan terus meninggikan syiar Islam, menjaga akidah dan mempertahan kesucian Islam termasuk memperjuang penggunaan kalimah Allah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan termasuk pendidikan Islam dan tempat ibadat di seluruh negara supaya kemudahan itu dapat dinikmati dengan lebih selesa.

Menurut beliau, pembangunan berasaskan maqasid syariah itu akan terus diperjuang supaya apa yang dilakukan kerajaan menepati kehendak Islam.

Dalam masa sama, Najib menyeru seluruh umat Islam di negara ini mencari titik pertemuan dengan bernaung atas prinsip perpaduan meskipun berbeza fahaman politik.

"Langkah itu perlu bagi memastikan agama Islam dan umatnya tidak tergugat serta mengelak berlaku konflik sekali gus membolehkan mereka lebih maju pada masa depan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada ahli jawatankuasa masjid-masjid di sekitar daerah ini selepas solat sunat tarawih di Masjid Jamiuridhuan, Simpang 4, Jeram, di sini malam ini.

Sumbangan kain jubah, kain pelikat, kain batik, buah kurma dan air zamzam itu merupakan sebahagian pemberian daripada Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang disampaikan kepada masjid-masjid di seluruh negara sempena Ramadan.

Yang turut hadir anak lelaki beliau, Nor Ashman, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Amiruddin Setro dan ADUN Bukit Melawati, Jakiran Jacomah.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, salah satu sebab Malaysia berada dalam keadaan aman dan tidak bergolak kerana negara ini mengamalkan dasar wasatiyyah atau kesederhanaan.

"Kita ambil jalan kesederhanaan, jalan sebaik-baik mengikut Islam, ertinya kita menolak fahaman fanatik dan tolak orang yang hendak melakukan kerosakan.

"Kita kutuk siapa yang buat huru-hara. Kalau bersikap sederhana dan tolak dasar tidak adil serta ekstrem, Allah SWT akan berkati perjuangan dan kepimpinan kita. Ini cuba kita lakukan hasil manfaat mandat rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Najib menyatakan hasrat kerajaan membawa lebih banyak pembangunan di Kuala Selangor setelah rakyat memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kata beliau, kejayaan merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Selangor dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati serta mengekalkan kerusi DUN Jeram adalah pencapaian memberangsangkan.

"Kita patut berterima kasih kepada orang yang telah memberi sokongan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment