My Add

Saturday 6 July 2013

Peruntukan selari dengan Islam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Peruntukan Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak adalah Islam sewajarnya difahami sebagai mewakili situasi terkini di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad berkata, peruntukan itu didukung oleh keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai autoriti tertinggi dalam mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu tersebut.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan turut diguna pakai oleh pihak berkuasa agama Islam negeri.

"Pembela menyeru semua pihak memahami seksyen tersebut sebagai 'status quo' yang kukuh dan berasas kerana didukung oleh dua autoriti tertinggi yang paling relevan dengan isu ini.

"Semua pihak diminta kembali kepada semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam menangani isu ini dan bukannya berpandukan kepada sentimen kesamarataan mutlak yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yusri mengulas pandangan pelbagai pihak yang meminta kerajaan mempertimbangkan hak ibu atau bapa untuk mengizinkan anaknya yang berusia di bawah 18 tahun memeluk agama Islam seperti yang terkandung dalam Seksyen 107(b) rang undang-undang tersebut.

"Islam perlu dihormati dan diberi peluang untuk berperanan sebagai agama Persekutuan dalam persoalan seumpama ini," ujarnya.

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berpandangan, selain merujuk kepada hukum syarak dan keputusan mahkamah, isu menukar agama anak juga wajar dilihat dari sudut kemanusiaan.

"Mungkin kita boleh mengkaji berhubung keperluan untuk memaklumkan ibu atau bapa yang tidak memeluk Islam tentang pertukaran agama anak mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment