My Add

Saturday 6 July 2013

Rakyat di luar negara perlu jadi aset bermakna

MANAMA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Rakyat Malaysia di luar negara perlu menjadi aset bermakna untuk negara dengan pengalaman dan pemikiran mereka diperlukan bagi membantu pembangunan dan ekonomi negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, mereka boleh memanfaatkan pengalaman berkhidmat di luar negara dengan sama-sama menyumbangkan pemikiran ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang pantas membangun dengan rakyatnya kekal hidup harmoni.

Berucap pada perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Bahrain sempena program ’Liqa’ Mawaddah’ peringkat Bahrain yang berlangsung di Manama, baginda bertitah, walaupun kerajaan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negara tetapi rakyat Malaysia di luar negara perlu seiringan membawa negara ke tahap yang lebih baik.

Tuanku Syed Faizuddin yang tiba di Bahrain malam tadi juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak bersikap keterlaluan dan sentiasa mengamalkan susila yang mulia kerana mereka adalah aset negara di rantau asing.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Datuk Ahmad Shahizan Abd Samad dalam ucapannya berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di negara itu adalah golongan profesional yang bertugas dalam pelbagai sektor termasuk industri minyak dan gas, kewangan serta infrastruktur.

Beliau yakin mereka berupaya mengekalkan jati diri dan tidak akan menyembunyikan pengalaman mereka untuk dikongsi ke arah pembangunan negara apabila kembali semula ke tanah air.

Sempena program Liqa’ Mawaddah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu, Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya menyampaikan tazkirah berkaitan ’Wasatiyyah Dalam Islam’ manakala Pengurus Baitulmal Perlis, Mohd. Nazim Mohd. Noor memberi ceramah berkaitan kepentingan zakat.

Pada majlis itu juga, rakyat Malaysia di Bahrain turut didedahkan dengan kemudahan menuntut ilmu di Perlis melalui slot khas memperkenalkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Slot khas itu diisi dengan penerangan yang disampaikan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin; Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Wazir dan Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam.

Turut hadir ke majlis itu ialah Konsul Pendidikan Malaysia bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Shushilil Azam Shuib. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment