My Add

Thursday 11 July 2013

Petisyen Parlimen Machang: Sivarasa tidak dibenar wakili pemetisyen

 * R. SIVARASA dan Latheefa Koya di luar bilik mahkamah selepas tidak dibenarkan bersuara dalam perbicaraan petisyen pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, RABU, 10 Julai, 2013: Peguam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa, Latheefa Koya, dan Muhammad Afiq Muhammad Noor hari ini menerima tamparan hebat apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini tidak membenarkan mereka mewakili bekas calon parti itu dalam petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Machang.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian ketika menerima bantahan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili responden pertama, Barisan Nasional (BN) dalam petisyen itu, setelah mendapati ketiga-tiga peguam itu tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

"Sekiranya anda tidak berpuas hati, boleh bawa keputusan ini ke peringkat yang lebih tinggi," kata hakim tersebut.

Ketiga-tiga peguam berkenaan pada mulanya 'muncul' secara tiba-tiba dalam prosiding petisyen bagi kerusi Parlimen Machang yang dimenangi oleh BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Berikutan itu, Mohd. Hafarizam membantah kehadiran ketiga-tiga peguam tersebut yang mahu mengambil alih tugas peguam, Hisham Fauzi yang mewakili pihak PKR selaku pempetisyen.

Biarpun Hisham memberi laluan kepada Sivarasa namun Mohd. Hafarizam tetap berkeras untuk tidak memberi laluan kepada Sivarasa kerana ia bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 yang mewajibkan pempetisyen memfailkan notis pelantikan peguam.

"Saya mohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan Sivarasa, Latheefa dan Muhammad Afiq daripada bercakap kerana mereka gagal memfailkan notis pelantikan sebagai peguam pempetisyen mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

"Sivarasa dan rakan-rakannya ini tidak mempunyai locus standi untuk bercakap dalam mahkamah ini," katanya.

Sivarasa yang tetap berkeras untuk mewakili pempetisyen bertikam lidah dengan Mohd. Hafarizam sehingga Ahli Parlimen Subang itu menggelar Mohd. Hafarizam sebagai kurang ajar.

Dalam masa yang sama, Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad yang mewakili pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan responden ketiga turut menyokong hujah Mohd. Hafarizam.

Disebabkan keadaan menjadi agak panas, Hakim Zamani dengan pantas mengawal keadaan dan tidak membenarkan Sivarasa bercakap sehingga beliau membuat keputusan berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh Mohd. Hafarizam, Azizan dan Hisham.

Sementara itu, Hakim Zamani menetapkan 16 Julai ini keputusan berhubung bantahan awal yang dibuat oleh BN dan SPR terhadap petisyen bagi kerusi Parlimen tersebut ekoran kelewatan pihak pempetisyen menghantar jawapan bagi bantahan tersebut.

"Saya baru menerima jawapan ini pada pagi ini, saya menunggu jawapan sejak beberapa hari lalu jadi untuk memberikan keadilan saya perlu membaca jawapan ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Sebenarnya saya sudah mempunyai keputusan kerana beranggapan pempetisyen tidak berminat untuk meneruskan kes ini disebabkan tidak menghantar jawapan bertulis tersebut sebelum ini," katanya.

Dalam PRU-13, calon BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menewaskan calon PKR, Wan Zawawi Wan Ismail dengan majoriti 805 undi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment