My Add

Thursday 25 July 2013

Polis buka kertas siasatan penyebaran surat ancaman pengganas

Oleh ROSMAWATI SALIHIN

KOTA KINABALU, RABU, 24 Julai, 2013: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran surat bahawa kononnya pengganas Kiram akan menyerang negara ini, mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran awam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pada masa ini pihaknya dalam proses merakam keterangan beberapa individu bagi mengenal pasti dan menjejak pihak terlibat yang bertanggungjawab menghantar surat itu ke pejabat daerah Tambunan itu baru-baru ini.

"Polis tidak menolak kemungkinan surat itu tiada kena mengena dengan pencerobohan pengganas Kiram berdasarkan terjemahan tulisan serta bahasa digunakan.

"Sebagai contohnya mereka mengatakan Datu Agbimudin Kiram (ketua pengganas Kiram) itu berada di Pantai Barat sedangkan berdasarkan maklumat kita, kini dia berada di sebelah sana (negara jiran).

"Tetapi sehingga kini pun dia (Agbimudin) tidak muncul kerana khuatir menerima tindakan balas daripada rakyat mereka sendiri," ujarnya ketika ditemui semasa majlis perasmian Pra Ops Selamat di Jesselton Point, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun.

Sebelum ini, penduduk Tambunan gempar selepas menerima surat berhubung ancaman pengganas Kiram yang dikatakan mahu memasuki daerah itu pada Ogos dan September depan.

Surat terbabit mengundang reaksi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang menyatakan kesediaan pasukan keselamatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment