My Add

Thursday 25 July 2013

Keputusan bantahan petisyen pilihan raya Nurul Izzah 1 Ogos

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memohon Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangannya yang dikemukakan oleh seorang pengundi kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Mohd. Hafarizam, petisyen yang dikemukakan oleh Mohamad Sazali Kamilan itu perlu dibicarakan terlebih dahulu memandangkan dakwaan 'rasuah' yang dibuat oleh Nurul Izzah mempunyai merit untuk didengar dalam perbicaraan.

Beliau sehubungan itu memohon supaya bantahan awal itu ditolak dengan kos RM5,000 dibayar kepada Mohamad Sazali kerana berpendapat Nurul Izzah tidak sepatutnya memohon petisyen anak guamnya itu dibatalkan pada peringkat ini.

Sementara itu, barisan Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Alice Yoke dan Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Lembah Pantai dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggalkan mahkamah selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd. Hafarizam untuk mereka dikeluarkan sebagai pihak dalam petisyen tersebut.

Terdahulunya, peguam Edmund Bon yang mewakili Nurul Izzah selaku responden pertama memohon, petisyen Mohamad Sazali ditolak dengan kos atas alasan tindakan itu tidak menyatakan secara spesifik fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang didakwa disiarkan oleh portal berita, Malaysiakini.

Raja Nong Chik, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, turut hadir mendengar petisyen tersebut.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang mendengar bantahan awal Nurul Izzah akan membuat keputusan pada pukul 8 pagi, 1 Ogos ini.

Mahkamah sebelum itu menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Titiwangsa yang difailkan oleh Pas, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bagi mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani.

Hakim Zabariah berkata, Ahmad Zamri gagal mengemukakan fakta untuk menyokong dakwaannya bahawa ejen Johari mengamalkan rasuah dan ejen itu mengedarkan risalah yang boleh mempengaruhi pengundi.

Hakim Zabariah menolak petisyen itu dengan kos berjumlah RM70,000 selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Johari. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment