My Add

Tuesday 9 July 2013

Polis tahan pemandu langgar tiga peserta larian

Oleh ANGELINA SINYANG

PETALING JAYA, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis menahan seorang pereka landskap persendirian bagi membantu siasatan kes tiga peserta wanita larian 'Feel Good Run' anjuran stesen televisyen NTV7 yang cedera dilanggar sebuah kereta di sebuah kawasan perumahan di Bandar Utama dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Fadil Masus berkata, suspek iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas membuat laporan di Balai Polis Trafik di sini kira-kira pukul 3 pagi ini.

Beliau berkata, lelaki berasal dari Taiping, Perak itu membuat laporan polis pada pukul 1 pagi selepas dinasihatkan dan dibawa ke balai berkenaan oleh seorang rakan.

"Dalam laporannya, pemandu itu mendakwa dia terlanggar peserta larian NTV7 'Feel Good Run' dan melarikan diri kerana bimbang dipukul orang ramai.

"Atas nasihat rakannya, dia dibawa ke Balai Polis Trafik untuk membuat laporan sebelum ditahan dua jam selepas itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi kelmarin, tiga peserta wanita larian terbabit cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika acara itu berlangsung.

Tiga peserta wanita yang berusia lingkungan 20-an itu dilanggar sebuah kereta Proton Iswara berwarna merah sebelum kenderaan itu bertindak melarikan diri. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment