My Add

Tuesday 23 July 2013

PRK Kuala Besut: Wanita jangan ambil mudah kewajipan

BESUT, SELASA, 23 Julai, 2013: Wanita diseru agar tidak mengambil mudah dalam soal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Rabu ini bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut kekal di bawah Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, walaupun telah memberi kemenangan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, mereka perlu keluar untuk mengundi sekali lagi.

"Ini bagi memastikan BN kekal menerajui negeri ini dan kerajaan BN yang memerintah kembali kukuh dan dapat merencanakan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan lebih berkesan secara berterusan.

"Mereka perlu menunjukkan sokongan lebih kukuh,'' ujar beliau

kepada pemberita pada Mjlias Ramah Mesra Bersama Media di sini malam tadi.

Katanya, jumlah pengundi wanita yang dianggarkan hampir separuh daripada keseluruhan pengundi berdaftar, wajar mencorakkan kerajaan dan masa depan yang mereka impikan.

"Wanita adalah antara golongan penting yang menjadi penentu hala tuju pembangunan rakyat dan negara, oleh itu saya berharap pengundi dapat membuat keputusan bijak dan memilih kerajaan yang mampu memberikan keselesaan, keamanan dan pembangunan untuk rakyat.

"Saya merayu agar mereka membuat keputusan untuk meletakkan jaminan kestabilan, keamanan, kesejahteraan dan persekitaran hidup yang harmoni dan selesa. Apa yang lebih penting ialah kesinambungan dan jaminan masa depan yang lebih baik dan meyakinkan kita semua," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment