My Add

Thursday 11 July 2013

Program susu tingkatkan kehadiran murid luar bandar ke sekolah

GUA MUSANG, RABU, 10 Julai, 2013: Program Susu Sekolah 1Malaysia (PS1M) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu berjaya menarik minat murid luar bandar ke sekolah, sekali gus membantu mencapai sasaran 100 peratus kehadiran.

Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Murid, Kementerian Pendidikan, Datin Rashidah Md. Yusoff berkata, program tersebut ternyata berjaya sehingga mampu menarik minat murid khususnya yang tinggal di luar bandar untuk datang ke sekolah.

Katanya, keberkesanan program itu menyaksikan ada dalam kalangan murid-murid yang tinggal jauh di pedalaman bersemangat untuk hadir ke sekolah walaupun semata-mata ingin mendapatkan susu.

"Selain membantu meningkatkan kehadiran ke sekolah, program ini dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk melahirkan generasi sihat dan membudayakan minum susu.

"Program ini menjadi tarikan kepada murid-murid luar bandar terutama murid Orang Asli yang menjadikan program ini sebagai dorongan untuk datang ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama pihak media di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di sini semalam.

Program lawatan tersebut dianjurkan oleh Dutch Lady Malaysia bertujuan memberikan gambaran kepada media tentang kesukaran yang perlu ditempuhi bagi melaksanakan program PSM1, terutama yang melibatkan sekolah di pedalaman.

SK Sri Permai adalah sekolah untuk anak-anak Orang Asli yang mengambil masa tiga sehingga empat jam perjalanan dari jalan utama dan hanya boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, tambah Rashidah, murid-murid Orang Asli di sekolah berkenaan menunjukkan minat untuk hadir apabila wujudnya program seperti ini sejak dua tahun lalu.

"Ini adalah tarikan utama murid-murid di pedalaman untuk hadir ke sekolah. Tarikan murid untuk datang ke sekolah bagi mereka yang tinggal di luar bandar ini berbeza berbanding di bandar.

"Kita boleh melihat semula program ini agar menjadi satu mekanisme mencapai sasaran kehadiran 100 peratus di sekolah untuk masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan telah memperuntukkan RM103 juta bagi melaksanakan program PSM1 ini yang melibatkan 1.4 juta kanak-kanak seluruh negara.

Katanya, empat pembekal telah dilantik untuk melaksanakan PSM1 dan Dutch Lady adalah salah satu daripadanya.

Selain itu, Rashidah memberitahu, program itu turut memberikan peluang kepada penternak memasarkan produk mereka, secara tidak langsung meningkatkan industri penternakan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment